Kumpulan masyarakat sivil persoal status vaksin Covid-19 untuk pelarian


Elill Easwaran

Pelarian yang hidup di kawasan sesak turut terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

KUMPULAN masyarakat sivil yang bekerja dengan pelarian masih tertanya-tanya mengenai status pelan vaksinasi Covid-19 kerajaan untuk kumpulan berkenaan.

Ketika mereka gembira kerana kerajaan sedia memberikan ssuntikan vaksin secara percuma kepada pelarian, mereka masih kecewa kerana masih belum mengetahui mengenai perkembangan program vaksinasi berkenaan.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight pelarian juga bimbang ditahan pihak berkuasa walaupun kerajaan berjanji tidak akan berbuat demikian. 

Pengasas Women for Refugees (WFR) Arissa Jemaima, 24, berkata beliau dan pasukannya masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak dalam kerajaan mengenai vaksinasi untuk pelarian yang diusahakan mereka. 

“Kita sangat gembira apabila kerajaan mengumumkan mereka akan menyediakan vaksin secara percuma kepada semua pendatang termasuk pelarian di negara ini, malangnya sehingga kini tiada perkembangan sejak pengumuman itu dibuat. 

“Mereka perlu faham komuniti pelarian juga tidak hidup seperti yang dijalani masyarakat lain. 

“Sebagai contoh dalam komuniti pelarian, ia seperti hidup di rumah panjang yang mana semua keluarga tinggal bersama dan ruangan sangat terhad. Oleh itu vaksinasi sangat penting untuk mereka,” katanya. 

WFR bekerja dengan kira-kira 30 keluarga pelarian secara mingguan dan setiap keluarga puratanya memiliki lima individu.

Tambahnya pelarian berkenaan sangat terbuka untuk menerima segala bentuk bantuan, terutamanya perubatan. 

“Mereka memahami beban kewangan sebagai pelarian di Malaysia. Mereka percaya dengan vaksinasi dan akan mematuhi semua prosedur yang ditetapkan,” kata Arissa.

Sementara itu seorang lagi aktivis sosial Chow Shenn Kuan berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengambil langkah untuk menyediakan akses perubatan kepada komuniti kurang bernasib baik ini. 

Pengasah pertubuhan Kakak ini bekerja dengan lebih 100 keluarga terdiri daripada sekurang-kurangnya empat ahli keluarga. 

Bagaimanapun katanya komuniti ini masih bimbang ditangkap sekiranya mereka keluar untuk vaksinasi. 

Tambahnya sekiranya anggota polis ditempatkan di pusat vaksinasi, kemungkinan besar komuniti pelarian di bawah seliaannya mungkin tidak akan pergi mendapatkan vaksin.

“Pelarian juga mempunyyai keperluan sama seperti rakyat Malaysia lain kerana kita semua manusia yang terdedah kepada virus Covid-19.”

Februari lalu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pendatang tanpa dokumen perjalanan tidak akan ditahan apabila mereka tampil untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau berkata kerajaan akan menghubungi kedutaan asing, organisasi antarabangsa dan masyaraat sivil untuk membantu menggalakkan pendatang asing tanpa dokumen ini mendapatkan vaksin.

Pekerja asing paling teruk terjejas akibat Covid-19, yang mana terdapat kluster melibatkan sektor perkilangan dan pembinaan. – 5 April, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen