Kriteria pemilihan doktor tetap perlu terbuka, kata MMA


Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata daripada proses pemilihan, beliau mendapati sebahagian yang ditolak adalah mereka yang sudah berusaha keras serta cemerlang dalam kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2022.

KRITERIA pemilihan lantikan tetap doktor mesti dibuat secara terbuka oleh Kementerian Kesihatan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata demikian selepas bantahan doktor kontrak bagi mengetahui kriteria pemilihan yang diguna pakai untuk menapis mereka ke jawatan tetap.

“Daripada proses pemilihan, kami mendapati sebahagian yang ditolak adalah mereka yang sudah berusaha untuk mengikuti program ini serta cemerlang dalam kerja mereka.”

“Ini mengakibatkan kekecewaan di kalangan doktor kontrak. Mereka dimaklumkan akan ditawarkan peluang untuk memohon semula tahun depan.”

“Tanpa mengetahui kriteria pemilihan, ramai yang merasakan mereka akan diketepikan apabila memohon jawatan tetap,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, seramai 3,215 doktor kontrak diberi jawatan tetap di Kementerian Kesihatan.

Lebih 8,000 doktor kontrak memohon jawatan tersebut.

Dr Koh menambah walaupun beliau memahami tidak semua boleh diterima, adalah lebih baik jika KKM boleh memaklumkan satu set kriteria pemilihan kepada doktor kontrak.

Baru-baru ini, Khairy Jamaluddin berkata KKM meluluskan 4,053 daripada 8,672 permohonan awal bagi jawatan tetap melibatkan pegawai perubatan dan pergigian kontrak serta ahli farmasi bagi tahun ini.

Beliau berkata ia meliputi 3,215 pegawai perubatan, 438 pegawai pergigian dan 400 ahli farmasi, manakala terdapat 225 calon dalam senarai menunggu. – 20 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen