MMA tak ada pengetahuan tentang realiti di hospital kerajaan, kata Ramasamy


Pemimpin DAP P. Ramasamy berkata MMA tidak mempunyai pengetahuan yang dalam tentang realiti dengan memperkecilkan kejadian buli yang dihadapi doktor pelatih di hospital kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mei, 2022.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) tidak mempunyai pengetahuan yang dalam tentang realiti dengan memperkecilkan kejadian buli yang dihadapi doktor pelatih di hospital kerajaan, kata pemimpin DAP P. Ramasamy.

Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang dan timbalan ketua menteri II itu menyebut kenyataan dibuat Presiden MMA Dr Koh Kar Chai mengatakan hanya terdapat sedikit kes buli serius tetapi media telah memperbesar-besarkan perkara itu.

“Ia mengejutkan dan di luar kepercayaan saya apabila saya mendapat tahu tentang respons sebegini di mana MMA kelihatan tidak perasaan terhadap tahap dan intensiti buli sehingga boleh mendorong kes bunuh diri doctor pelatih baru-baru ini di hospital Pulau Pinang.

“Jika MMA tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan untuk membetulkan keadaan di hospital kerajaan, ia harus berdiam diri atau tidak peduli dengan perkara itu.

“Koh tidak sepatutnya membuka mulut hanya untuk mendedahkan sikap MMA yang tidak mengambil berat atau tidak ambil peduli,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dalam sidang media semalam Koh berkata kes buli serius terhadap doktor pelatih hanya melibatkan jumlah yang kecil dan laporan baru-baru ini tidak harus disalah tafsir.

“Apabila kes buli dilaporkan, ia disalah anggap seolah-olah kerap berlaku. Semua kes yang berlaku sebelum ini juga disebut,” katanya.

Ramasamy berkata dengan memperkecilkan keseriusan kes buli MMA telah terlepas perkara mengenai hakikat bahawa ia kekal sebagai masalah sistemik.

“Koh terlepas cakap bahawa ia bukan manifestasi fenomena itu dari segi beberapa kes, tetapi amalan sistematik buli dan penghinaan terhadap doktor pelatih muda selama ini.

“Ia bukan penyimpangan, tetapi sesuatu yang sistemik,” katanya.

Kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini telah membawa isu buli doktor muda ke hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian akan membentuk pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata unit itu juga akan menyiasat dakwaan buli dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Doktor pelatih itu meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Dato Keramat, George Town.

Polis sedang menyiasat kes itu sebagai kematian mengejut tetapi boleh mengklasifikasikannya semula jika bukti baharu terbongkar. – 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen