Hubungi kami jika ada masalah peribadi, kata persatuan perubatan


Ravin Palanisamy

Pakar perubatan yang mengalami sebarang isu peribadi boleh menghubungi kumpulan sokongan doktor MMA(HelpDoc). – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2022.

PAKAR perubatan yang menghadapi masalah peribadi dinasihatkan supaya tidak mengambil keputusan drastik sebaliknya mendapatkan bantuan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini.

“Semua ahli profesional dalam bidang penjagaan kesihatan yang mengalami sebarang isu peribadi boleh menghubungi ‘HelpDoc’ MMA – kumpulan sokongan untuk doktor.

“Maklumat lanjut tentang ‘HelpDoc’ boleh didapati di laman sesawang MMA di www.mma.org.my,” kata presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan MMA menyusul susulan kematian mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang pada 17 April lalu.

Doktor pelatih tersebut dilaporkan maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Pegawai Perubatan Siswazah itu yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022 disahkan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Menurut Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, kematian doktor pelatih tersebut sedang disiasat polis.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ma’arof Sudin berkata polis telah mengarahkan bedah siasat dijalankan, yang akan dilakukan di Jabatan Forensik di Hospital Besar Pulau Pinang.

Dr Koh berkata MMA berasa sedih atas kematian doktor pelatih tersebut dan berharap kejadian itu tidak akan disensasikan.

Beliau meminta kerahsiaan keluarga dihormati semasa pihak berkuasa menjalankan siasatan. – 4 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen