Klinik swasta akan bergelut dengan gaji minimum baharu, kata MMA


Alfian Z.M. Tahir

KLINIK swasta kecil terpaksa bergelut untuk bertahan apabila gaji minimum RM1,500 dikuatkuasakan bulan depan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata klinik perubatan am (GP) pada dasarnya adalah perniagaan berpendapatan rendah tanpa jalan untuk menaikkan caj mereka bagi mengimbangi peningkatan perbelanjaan mengurus yang disebabkan oleh pelaksanaan gaji minimum.

“Klinik GP terutamanya klinik yang berdiri sendiri adalah perniagaan berpendapatan rendah dengan yuran perundingan mereka dihadkan di bawah Akta Penjagaan Kesihatan dan Kemudahan Swasta dan dengan caj keseluruhannya dikawal oleh Pentadbir Pihak Ketiga.

“Klinik swasta tidak seperti sektor lain yang mana kenaikan harga boleh diletakkan kepada pengguna. Amalan penjagaan kesihatan dikawal ketat,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 19 Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 minimum mulai 1 Mei di seluruh negara.

Beliau berkata perniagaan kecil dan mikro dibenarkan menangguhkan kenaikan gaji kerana mereka mungkin kekurangan wang untuk membayar.

Koh menyatakan walaupun gaji minimum baharu membolehkan kualiti hidup yang lebih tinggi tetapi penyediaan penjagaan kesihatan primer berkualiti pada kadar berpatutan kepada orang ramai juga penting untuk mengekalkan kesihatan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa lima kakitangan di sebuah klinik mungkin kelihatan ramai tetapi pada hakikatnya, itu adalah bilangan minimum kakitangan yang diperlukan oleh banyak klinik untuk terus beroperasi pada waktu lanjutan.

“Menggaji lima kakitangan adalah untuk mengekalkan perbelanjaan overhed dan memperoleh pendapatan yang munasabah untuk pengamal.

“Kebanyakan pembantu klinik yang diambil bekerja adalah pekerja tidak terlatih dan bukan jururawat terlatih.

Kami berharap perbincangan akan dilakukan dengan pihak berkepentingan penjagaan kesihatan berkaitan implikasi akta gaji minimum di klinik GP,” tegas Koh.

Sebelum kenyataan MMA, industri yang banyak bergantung kepada buruh asing turut mengecam tindakan Putrajaya mengenakan gaji minimum baharu.

Mereka berkata kenaikan gaji minimum hanya akan memberi manfaat kepada pekerja asing kerana kebanyakan rakyat tempatan sudah mendapat gaji lebih daripada gaji minimum RM1,500.

Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yeow Chong telah meminta supaya gaji minimum baharu ditangguhkan sehingga tahun depan bagi mengelak beberapa siri kesan buruk ekonomi.

Khoo berkata ramai yang tidak bersetuju dengan gaji minimum baharu kerana industri perabot terpaksa berdepan dengan peningkatan kos pengangkutan dan kekurangan kontena serta tenaga kerja, yang menyebabkan banyak tempahan tidak dipenuhi. – 14 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen