Azerbaijan harap capai perjanjian damai dengan Armenia


Dalam pertemuan pPresiden Azerbaijan Ilham Aliyev (kiri) dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan (kanan) di Brussels, Belgium pada April, kedua-duanya bersetuju memulakan persiapan rundingan damai selain menubuhkan suruhanjaya isu sempadan. – Gambar EPA, 20 Julai, 2022.

TIMBALAN Menteri Luar Azerbaijan Elnur Mammadov berharap negara itu dan jirannya Armenia akan mencapai perjanjian damai selepas kedua-duanya terbabit dalam peperangan pada 2020.

“Saya berharap, tetapi tidak boleh mengatakan saya yakin,” katanya menjawab pertanyaan sama ada Baku yakin untuk mencapai perjanjian damai dengan Yerevan.

Beliau berkata kerajaan Azerbaijan konsisten dan tegas dalam dasar untuk meneruskan agenda damai dengan Armenia, selepas konflik antara kedua-dua negara berlarutan hampir 30 tahun.

“Kami mahu memandang ke hadapan…Saya berharap akan ada perjanjian damai, tetapi ia memerlukan persetujuan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Mammadov berkata demikian di kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur, semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini. Beliau berada di sini sebagai sebahagian daripada rangka lawatannya ke negara Asia Tenggara. Turut hadir Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov.

Beliau berkata keadaan selepas perang tidak memihak kepada Armenia, tetapi jika wujud keadaan aman yang berpanjangan,  Armenia akan mendapat lebih berbanding Azerbaijan, terutamanya dari segi ekonomi.

Dalam pertemuan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan di Brussels, Belgium pada 6 April, kedua-duanya bersetuju untuk memulakan persiapan untuk rundingan damai dan juga menubuhkan suruhanjaya dua hala mengenai isu persempadanan.

Pada 9 April, Aliyev dilaporkan berkata Armenia telah menerima dokumen yang dikemukakan Azerbaijan mengenai lima prinsip untuk memulihkan hubungan dua hala, termasuk pengiktirafan bersama ke atas integriti wilayah masing-masing. Susulan itu, Armenia pula menyerahkan kenyataan enam perkara mengenai rancangan damai yang ditawarkan Azerbaijan

Mesyuarat pertama antara Timbalan Perdana Menteri Azerbaijan Shahin Mustafayev dan rakan sejawatannya dari Armenia Mher Grigoryan berlangsung pada 24 Mei di sempadan Armenia-Azerbaijan.

Sehari sebelum itu, Presiden Majlis Eropah Charles Michel menjadi tuan rumah kepada Presiden Aliyev dan Pashinyan di Brussels untuk mesyuarat tiga hala ketiga sejak Disember lalu.

Presiden Aliyev berkata jika Armenia terus mempersoalkan integriti wilayah Azerbaijan, maka Azerbaijan akan melakukan perkara yang sama terhadap Armenia.

Mammadov menegaskan bahawa keamanan yang berkekalan antara Azerbaijan dan Armenia yang kaya dengan minyak dan gas akan menyumbang kepada keselamatan serta kestabilan di wilayah Caucasus Selatan itu.

Konflik antara Azerbaijan dan Armenia bermula pada 1988 – tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991 – berikutan tuntutan tidak sah dan tidak berasas Armenia terhadap negara itu.

Pada 1992, perang meletus antara dua negara bekas Soviet itu, menyebabkan Armenia menduduki 20 peratus wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa, termasuk bahagian pergunungan Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya, dan juga mengakibatkan satu juta rakyat Azerbaijan menjadi pelarian antarabangsa dan domestik.

Perang Karabakh Kedua yang berlaku pada 27 Sept 2020 berakhir dengan Azerbaijan berjaya membebaskan semua tanahnya yang diduduki. Pada 10 Nov 2020 dengan Rusia sebagai negara perantara, Azerbaijan dan Armenia menandatangani perjanjian untuk menamatkan pertempuran dan berusaha ke arah menandatangani perjanjian damai yang komprehensif. – Bernama, 20 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen