BERATUS penyokong pembangkang berkemah di luar Parlimen Armenia pada Jumaat menuntut Perdana Menteri Nikol Pashinyan letak jawatan berikutan perang dengan Azerbaijan tahun lalu.
Negara itu terjatuh dalam krisis politik baharu ketika Pashinyan menolak seruan mengundurkan diri, menuduh tentera melakukan rampasan kuasa dan mengumpulkan sekitar 20,000 penyokong di ibu kota Yerevan.
Pembangkang mengumpulkan kira-kira 10,000 penyokong, yang mendirikan khemah di luar bangunan Parlimen, mendirikan penghadang dan berjanji untuk mengadakan demonstrasi sepanjang masa.
Pada Jumaat, penyokong pembangkang menyekat jalan-jalan berhampiran bangunan Parlimen ketika mereka bersiap untuk mengadakan perhimpunan baharu.
Seorang pemimpin parti pembangkang Dashnaktsutyun, Gegham Manukyan, memberitahu wartawan parti pembangkang hanya akan bercakap dengan Pashinyan mengenai “pengunduran dirinya” sahaja.
Pashinyan berkata beliau bersedia berbincang dengan pembangkang untuk meredakan ketegangan, tetapi dalam masa sama turut mengancam akan menangkap lawan jika mereka melanggar undang-undang.
Pashinyan menghadapi kritikan hebat sejak menandatangani perjanjian damai oleh Rusia yang mengakhiri konflik ke atas Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah etnik Armenia yang terlepas dari penguasaan Azerbaijan semasa perang pada awal 1990-an.
Pertempuran baharu meletus di rantau itu pada akhir September dengan pasukan Azerbaijan yang disokong oleh sekutu Turki menang besar.
Setelah enam minggu bertempur dan pengeboman yang meragut kira-kira 6,000 nyawa, perjanjian gencatan senjata ditandatangani yang menyerahkan wilayah penting kepada Azerbaijan dan memungkinkan penempatan pasukan pengaman Rusia.
Perjanjian itu dilihat sebagai penghinaan bagi banyak orang di Armenia, walaupun Pashinyan berkata beliau tidak ada pilihan selain bersetuju atau melihat pasukan negaranya berhadapan kerugian lebih besar lagi.
Tentera Armenia menyokong Pashinyan selama berbulan-bulan namun pada Khamis kakitangan jeneral tentera meminta beliau mengundurkan diri, dengan berkata dalam satu kenyataan beliau dan kabinetnya “tidak mampu mengambil keputusan yang mantap”. – Gambar AFP, 26 Februari, 2021.
Komen