KESATUAN Eropah (EU) menyambut baik gencatan senjata kemanusiaan antara Armenia dan Azerbaijan mulai tengah malam (2000 GMT) Sabtu, dan mengecam sebarang pelanggaran kesepakatan baharu dicapai itu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad oleh perwakilan tinggi EU untuk hal ehwal luar negeri dan dasar keselamatan Josep Borrell, pengumuman bersama mengenai gencatan senjata kemanusiaan dibuat Armenia dan Azerbaijan atas usaha rundingan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Pengerusi Bersama Kumpulan Minsk OSCE.
Sementara itu, blok tersebut “sangat kesal kerana, pelanggaran terus berlanjutan, dengan laporan berlaku pertempuran di sekitar Nagorno-Karabakh,” kata kenyataan itu.
“Ia mengakibatkan lebih banyak penderitaan terpaksa dilalui orang awam. Memburukkan lagi konflik antara negara dan masyarakat masing-masing, menjadikan keadaan lebih sukar,” kata Borrell, sambil menambah “EU mengecam keras semua serangan tersebut tanpa mengira puncanya.”
Pegawai EU itu berkata beliau baru sahaja memanggil menteri luar Armenia dan Azerbaijan “untuk menegaskan kepada mereka bahawa gencatan senjata tersebut harus dipatuhi dan dihormati tanpa syarat.”
Azerbaijan dan Armenia saling menuduh pihak lawan melanggar gencatan senjata baharu pada Ahad, beberapa jam setelah mereka bersetuju buat kali kedua menghentikan pertempuran di wilayah Nagorno-Karabakh. Gencatan senjata pertama berlaku pada 10 Oktober, tetapi disusuli dengan berbalas tembakan.
Ketegangan Armenia dan Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh telah bermula sejak 1988. Rundingan damai telah diadakan sejak 1994 dengan persetujuan gencatan senjata dicapai, namun beberapa pertempuran kecil tetap terjadi sejak itu. – Bernama, 19 Oktober, 2020.
Komen