Iran dakwa dron terhempas di sempadan Azerbaijan


Pergolakan di sempadan Nagorno-Karabakh terus memuncak selepas kedua-dua pihak saling melanggar gencatan senjata.– Gambar EPA, 13 Oktober, 2020.

IRAN mendakwa dron yang tidak dikenal pasti terhempas berhampiran sempadannya dengan Azerbaijan pada Selasa.

Kejadian itu berlaku ketika Baku dan Yerevan saling menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata di Nagorno-Karabakh. 

Dron berkenaan terhempas di kawasan perkampungan Parsabad, wilayah Ardebil di sepanjang sempadan utara Iran, kata timbalan gabenor Behrouz Nedayi kepada agensi berita IRNA. 

“Identiti dan punca dron berkenaan terhempas sedang disiasat,” katanya. 

Menurut IRNA, dron berkenaan mungkin milik Azerbaijan atau tentera Armenia.

Kedua-dua pihak berkenaan bertelingkah sejak bertahun lamanya berhubung sempadan Nagorno-Karabakh, yang mana ia secara etniknya merupakan kawasan Armenia sebelum berpecah dari Baku pada 1990an.

Pertempuran kembali tercetus pada 27 September lalu di salah satu zon konflik sejak kejatuhan Kesatuan Soviet. 

Menteri luar Armenia dan Azerbaijan pada Sabtu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata kemanusiaan, namun pertempuran berterusan menggagalkan perjanjian itu.– AFP, 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen