Armenia tuduh Azerbaijan langgar gencatan senjata 


Pergolakan di wilayah Nagorno-Karabakh memuncak beberapa minggu lalu mengorbankan ratusan nyawa.– Gambar EPA, 18 Oktober, 2020.

ARMENIA pada Ahad menuduh Azerbaijan melanggar gencatan senjata kemanusiaan yang menyasarkan untuk menghentikan pertempuran di wilayah Nagorno-Karabakh yang meragut ratusan nyawa.

Jurucakap kementerian pertahanan Yerevan, Shuahsan Stepanyan menerusi Twitter berkata Azerbaijan membedil roket dan kereta kebal pada awal pagi Ahad, beberapa minit sebelum gencatan senjata berkuatkuasa bermula tengah malam.

Setakat ini tiada sebarang reaksi daripada Azerbaijan.

Gencatan senjata itu dikuatkuasakan susulan pertempuran yang menyaksikan peluru berpandu meragit 13 nyawa termasuk kanak-kanak di bandar Ganja, Azerbaijan.

Susulan itu, Presiden Ilham Aliyev berazam untuk membalas dendam.

Gencatan senjata yang disokong Rusia itu bagi membolehkan kedua-dua negara bertukar tahanan dan mayat mangsa terjejas dengan cepat selepas kedua-dua pihak saling tuduh menuduh melanggar perjanjian.

Pertempuran tercetus tiga minggu lalu meragut hampir 700 nyawa sekaligus mengancam campur tangan daripada Rusia dan Turki.

Angka kematian kemungkinan lebih tinggi kerana Azerbaijan tidak pernah mengumumkan jumlah kematian tenteranya. – AFP, 18 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen