OPERASI serangan terus berlanjutan semalam di garisan sempadan sebulan selepas meletusnya pertempuran antara Armenia dan Azerbaijan, lapor agensi Anadolu, memetik pihak berkuasa tempatan.
Menurut Kementerian Pertahanan Azerbaijan sejak beberapa hari lalu, pasukan Armenia membedil kedudukan unit tentera Azerbaijan dan penempatan orang awam dengan senjata termasuk meriam dan peluru berpandu.
Walaupun operasi diteruskan terutamanya di Khojavend, Fuzuli dan Gubadli, percubaan tentera Armenia untuk menyerang “telah berjaya dipatahkan,” kata kenyataan itu, sambil menambah beberapa askar Armenia turut terkorban akibat serangan balas Azerbaijan.
Sebilangan anggota tentera Armenia terbunuh, dua kereta kebal T-72, dua sistem roket pelancaran berganda BM-21 Grad, 14 jenis Howitzers, beberapa kubu kuat dan enam kenderaan dimusnahkan tentera Azerbaijan, beberapa hari lalu, dakwa kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tentera Azerbaijan kini sedang memantau operasi berkenaan.
Sementara itu, pasukan keselamatan Armenia, menewaskan tentera Azerbaijan di wilayah Goranboy dan Tartar menerusi bedilan meriam yang dilancarkan pada waktu pagi, katanya.
Azerbaijan pula menyatakan serangan peluru berpandu pada Rabu oleh pasukan Armenia ke penempatan orang awam Azerbaijan di pusat bandar wilayah Barda telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk lima wanita, dan mencederakan 70 yang lain termasuk lapan kanak-kanak dan 15 wanita.
Kedua-dua peluru berpandu Smerch, yang diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa, dilancarkan sekitar 1 tengah hari waktu tempatan (0900GMT) menyasarkan kawasan berpenduduk padat dengan bangunan komersial di Barda, menurut Pejabat Pendakwaraya Tinggi Azerbaijan dalam satu kenyataan.
Pada Isnin, Baku mendakwa pasukan Armenia terus menyerang penempatan orang awam dan markas tentera Azerbaijan, walaupun gencatan senjata kemanusiaan terbaharu diumumkan pada Ahad lalu.
Kedua-dua pihak juga saling menyalahkan kerana melanggar dua gencatan senjata sebelumnya pada 10 dan 17 Oktober.
Menurut Pejabat Ketua Pendakwaraya Azerbaijan, setakat ini, sekurang-kurangnya 90 orang awam terbunuh, termasuk 11 kanak-kanak dan bayi, dan 392 orang - sekurang-kurangnya 36 kanak-kanak - cedera dalam serangan Armenia manakala 2,406 rumah dan 92 bangunan kediaman pangsapuri musnah dan 423 kemudahan awam mengalami kerosakan. – Bernama, 30 Oktober, 2020.
Komen