2 maut dalam tunjuk perasaan di Senegal 


Anggota pasukan keselamatan menghalang penunjuk perasaan daripada mara ke pusat bandar di Senegal. – Gambar EPA, 18 Jun, 2022.

PERTEMPURAN antara penunjuk perasaan dan polis menyebabkan dua maut di ibu kota Senegal, Dakar pada Jumaat.

Kejadian itu berlaku ketika pegawai keselamatan menyekat akses ke rumah ketua pembangkang Ousmane Sonko.

Tiga tokoh pembangkang—Dethie Fall, Ahmet Aidara dan Mame Diarra Fame—turut ditahan, kata jurucakap parti PASTEF Sonko, Ousseynou Ly.

Tindakan polis itu dibuat selepas Sonko menggesa protes ketika negara itu berada dalam ketegangan sebelum pilihan raya.

Jalan-jalan menuju ke kawasan kediamannya di daerah kelas atasan Dakar ditutup oleh penghadang dan polis anti-rusuhan. Penyokong yang cuba mendekati bangunan itu dengan tegas diarah berpatah balik, menurut wartawan AFP.

Polis turut menghalang Sonko daripada menunaikan solat Jumaat.

Menurutya, beliau secara peribadi tidak menyalahkan pegawai polis yang diarahkan menghalang beliau meninggalkan kediamannya tetapi menuduh pihak berkuasa mengalah dengan “panik”.

Ly menambah bahawa Datuk Bandar Dakar, Barthelemy Dias juga dihalang daripada meninggalkan rumahnya.

Sonko, yang mendapat tempat ketiga dalam pilihan raya presiden 2019, telah menggesa protes pada hari Jumaat terhadap keputusan menghalang senarai calon untuk pilihan raya Senegal pada 31 Julai.

Tindakan itu juga menyebabkan beliau dan tokoh pembangkang lain disekat daripada bertanding.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk dan menggunakan bom renjat untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang membaling batu di beberapa kawasan kejiranan Dakar.

Mereka menghalang penunjuk perasaan daripada sampai ke pusat bandar dengan sokongan kenderaan berperisai. – AFP, 18 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen