KIRA-KIRA 2,700 tan ammonium nitrat, sama dengan jumlah yang terlibat dalam letupan Beirut, disimpan di pelabuhan di Dakar, ibu negara Senegal, kata pegawai pada Khamis.
Letupan 4 Ogos di pelabuhan Beirut mengorbankan 181 nyawa, mencederakan ribuan orang dan merosakkan kawasan yang besar di ibu negara Lubnan itu.
Kecuaian dan rasuah secara rasmi dikatakan menjadi punca letupan stok besar bahan letupan ammonium nitrat yang tidak disimpan dengan selamat di gudang pelabuhan selama bertahun-tahun.
Ammonium nitrat mempunyai dua penggunaan iaitu sebagai baja atau bahan letupan.
Pihak berkuasa pelabuhan Senegal pada Khamis berkata kira-kira 3,050 tan ammonium nitrat tiba di Dakar.
“Daripada jumlah itu, 350 tan sudah dikirim ke Mali,” kata pihak berkuasa pelabuhan dalam satu kenyataan.
Bakinya juga sepatutnya dihantar ke Mali, tetapi berdepan halangan susulan rampasan kuasa pada Selasa.
Pemilik amonium nitrat bercadang untuk menyimpannya di sebidang tanah dimilikinya, 30km di luar Dakar yang sedang dibangunkan sebagai bandar satelit.
Bagaimanapun, kementerian alam sekitar menolaknya, kata pegawai pelabuhan Baba Drame kepada AFP.
“Kami sudah meminta pemiliknya mengambil tindakan untuk mengeluarkan produk tersebut dari Senegal,” katanya.
Presiden Senegal Macky Sall pada Rabu meminta mesyuarat Kabinet untuk menyusun rancangan memastikan depoh yang menyimpan produk kimia berbahaya itu lebih selamat.
Pihak berkuasa pelabuhan Dakar berkata mereka sudah mengambil “semua langkah diperlukan untuk mengelakkan bencana serupa” seperti letupan Beirut. – AFP, 21 Ogos, 2020.
Komen