PRESIDEN Senegal Macky Sall semalam memecat menteri kesihatannya susulan kematian sebelas bayi yang baru lahir dalam kebakaran hospital di bandar Tivaouane pada Rabu.
Tragedi di Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh itu mendedahkan kelemahan sistem kesihatan awam Senegal, selepas kejadian serupa di bandar utara Linguere pada akhir April lalu yang menyebabkan empat bayi yang baru lahir terkorban.
Sall menerusi Twitter semalam mengisytiharkan temph berkabung selama tiga hari.
“Saya dimaklumkan mengenai kematian 11 bayi yang baru lahir di hospital kerajaan.
“Saya menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada ibu dan keluarga bayi yang terkorban,” tulisnya.
Datuk Bandar Tivaouane Demba Diop berkata kebakaran berpunca dari litar pintas di wad bersalin hospital berkenaan.
Kejadian kebakaran itu mencetus kemarahan orang ramai dan mendesak Menteri Kesihatan Abdoudaye Diouf Sarr meletak jawatan.
Pejabat presiden lewat semalam berkata Abdoudaye akan digantikan dengan bekas ketua pengarah kementerian kesihatan Marie Khemesse Ngom Ndiaye.
Presiden Sall dijangka pulang segera dari luar negara dan akan melawat lokasi kejadian, kata kenyataan pejabatnya. – AFP, 27 Mei, 2022.
Komen