PEMBERONTAK pemisah di Casamance, selatan Senegal yang dilanda konflik akan membebaskan tujuh askar Senegal yang ditawan pada akhir Januari, kata jurucakap pada Sabtu.
Tujuh askar itu merupakan anggota misi Afrika Barat di Gambia (Ecomig).
Mereka akan diserahkan pada Isnin di Gambia kepada wakil Komuniti Negara Afrika Barat (Ecowas), kata seorang pegawai Pergerakan Pasukan Demokrat Casamance (MFDC) dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
MDFC menangkap tujuh askar itu semasa pertempuran 24 Januari lalu di mana empat askar lain terbunuh, kata tentera Senegal.
Tentera berkata pertempuran itu berlaku semasa operasi membanteras pembalakan haram di sempadan dengan Gambia.
MFDC berada di belakang konflik pemisahan di wilayah Casamance di selatan Senegal yang bermula sejak 1982 dan telah meragut ribuan nyawa.
Casamance adalah milik Portugis selama beberapa ratus tahun sehingga ia diserahkan kepada kolonial Perancis pada 1888. Ia menjadi sebahagian daripada Senegal selepas negara itu mencapai kemerdekaan pada 1960.
Wilayah tersebut yang mempunyai budaya dan bahasa yang berbeza, dipisahkan secara geografi dari seluruh Senegal oleh Sungai Gambia. – AFP, 13 Februari, 2022.
Komen