Beberapa kawasan Kelantan, Terengganu akan ditanam jagung bijian, kata pertubuhan peladang


Selain membantu kerajaan stabilkan harga ayam melalui penghasilan jagung bijian di Kelantan dan Terengganu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan juga berharap dapat mewujudkan peluang pekerjaan selain meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat. – Gambar EPA, 16 Jun, 2022.

PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (Nafas) mengenal pasti seluas 12,140 hektar kawasan di Kelantan dan Terengganu, yang sebelum ini digunakan sebagai tanaman tembakau, untuk diusahakan semula bagi tanaman jagung bijian.

Nafas dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah usaha bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijian, yang merupakan antara bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan, sekali gus memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil.

Menerusi usaha itu juga, Nafas turut menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran ayam di negara ini dengan pengeluaran 144 juta ekor setahun.

“Penglibatan Nafas dalam rantaian nilai industri ayam ini dilihat akan dilaksana melalui pemerkasaan rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) bermula dengan NAFAS di peringkat induk, dan seterusnya struktur pergerakan PP di tiga peringkat (lain) terdiri daripada 14 PP negeri, 279 PP kawasan serta hampir 1 juta ahli peladang di seluruh negara.

“Usaha ini dalam masa sama dilihat dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat sekali gus meningkatkan hasil pendapatan bagi penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Malaysia ketika ini mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Berikutan itu, Nafas yakin menerusi rangkaian PP dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan, usaha mereka bagi merealisasikan projek tanaman jagung bijian bagi makanan ternakan dapat dilaksanakan.

“Usaha Nafas yang berskala besar ini diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian yang sangat tinggi bagi kegunaan penghasilan makanan ternakan dan seterusnya dapat menstabilkan harga pasaran ayam,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 16 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen