Lantik Nafas tidak selesai isu benih padi, kata Padi Rescue


Diyana Ibrahim

Pelantikan Nafas sebagai pengedar tunggal benih padi tidak selesaikan isu harga dan kualiti benih padi yang dihadapi pesawah, kata Padi Rescue. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

PELANTIKAN Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi tidak menyelesaikan isu harga dan kualiti benih padi yang dihadapi oleh pesawah, Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue).

Pengerusinya, Mohd Rafirdaus Abu Bakar berkata pelantikan Nafas mungkin dapat menangani isu harga yang tidak selaras, namun belum tentu menyelesaikan masalah kualiti biji benih padi.

“Apabila Nafas ambil alih pada Disember lepas, ia hanya menjadi pengedar tunggal… jadi mungkin ia boleh selesaikan masalah harga itu.

“Maksudnya Nafas mungkin boleh standardkan harga tapi isu kualiti tetap tak ditangani maksudnya pengeluar tetap orang yang sama  kerana Nafas hanya mengedar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rafirdaus menjelaskan pelantikan Nafas bukan cadangan daripada pihak pesawah kerana mereka sebenarnya mahu kerajaan membuka pasaran dan tidak mewujudkan monopoli dalam sistem rantaian pengeluaran dan pengedaran benih padi.

“Cadangan pesawah ialah untuk kerajaan membuka pasaran benih supaya lebih banyak pengeluar dan pengedar.

 “Petani juga nak harga yang lebih rendah daripada harga siling sebab subsidi biji benih diberikan kepada vendor bukan petani,” katanya.

Rafirdaus berkata harga benih padi sebenarnya boleh direndahkan lagi berbanding harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan sekarang.

Katanya, harga siling itu tidak memberi manfaat kepada semua petani, misalnya pesawah di Selangor yang selama ini menikmati harga lebih rendah.

“Di Selangor sebelum ini mereka dapat harga murah antara RM28 ke RM30. Jadi dengan adanya harga siling, harga di Selangor naik.

“Di negeri lain misalnya di Kedah dan Melaka, pesawah beli benih padi sampai RM40… jadi mereka lega harga turun, tapi ini bukan penyelesaian,” katanya.

Rafirdaus menjelaskan harga benih padi berbeza antara negeri kerana faktor logistik misalnya kilang pengeluar yang dekat selain pesawah di Selangor mendapat benih awal kerana musim menanam padi bermula di negeri itu sebelum di negeri lain.

Dalam pada itu, Padi Rescue meminta kerajaan menimbang untuk memberi peluang kepada pengilang besar Bumiputera jadi pengeluar benih padi, atas prinsip perkongsian ekonomi dan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Katanya, ketika ini hanya sebuah sahaja kilang benih Bumiputera yang ada daripada sembilan syarikat keseluruhannya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee pada November lepas berkata Nafas dilantik sebagai pengedar tunggal benih padi bagi mengelak kos tambahan kepada kerajaan untuk menetapkan harga siling benih padi.

Sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS), Nafas akan mengedar terus benih padi kepada pesawah, dan tidak lagi melibatkan vendor, katanya.

Harga siling benih padi ditetapkan pada harga RM35 bagi setiap 20kg berkuat kuasa musim tanaman pertama pada Januari lalu.

Pesawah sebelum ini sudah beberapa kali menyuarakan masalah eksploitasi harga dan kualiti benih padi di pasaran, termasuk kelewatan bekalan benih padi, sehingga membawa kepada beberapa siri protes di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad juga dilapor meminta kerajaan untuk memperbanyakkan pembekal benih padi baharu bagi menangani masalah itu, yang sudah berlaku sejak beberapa musim lalu.

Pada 2 Oktober lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) malah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya untuk menyelesaikan masalah. – 11 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen