Siasat dalang bocor surat menteri, kata Pemuda Amanah


Pemuda Amanah Kedah berkata pembocoran surat Menteri pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub kepada Dr Mahathir Mohamad menyalahi Akta Rahsia Rasmi 1972. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

PEMUDA Amanah Kedah menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dalang yang membocorkan dokumen sulit Kementerian Pertanian berhubung rayuan tender Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada Perdana Menteri, lapor Sinar Harian.

Ketua Pemuda Amanah Kedah Mohd Ridzwan Arshad Ahmad menyifatkan pembocoran surat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub kepada Dr Mahathir Mohamad menyalahi Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Saya memohon agar satu siasatan dilakukan terhadap individu yang dimaksudkan mengikut akta yang telah diperuntukkan bagi menjamin kestabilan dan kerahsiaan dokumen daripada pihak kerajaan Malaysia,” katanya, seperti dipetik akhbar itu.

Ridzwan membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Tambahnya, Pemuda Amanah kecewa, bagaimana maklumat dokumen sulit boleh dibocorkan pihak luar.

Beliau mendakwa tindakan membocorkan dokumen tersebut adalah cubaan mensabotaj kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku (mendedahkan dokumen sulit). Perkara ini sebenarnya disokong oleh menteri untuk membantu Nafas kerana ahlinya sendiri terdiri daripada lebih 900,000 orang.

“Tapi dokumen ini dikeluarkan, disabotaj oleh individu yang mempunyai kepentingan dirinya sendiri,” katanya.

Pada akhir November lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong menuduh Salahuddin menulis surat kepada perdana menteri memohon kerajaan melantik Nafas untuk projek pembekalan input pertanian sektor padi, bernilai RM1.4 bilion, secara rundingan terus.

Pada masa sama, Putrajaya menukarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dua perkara yang berlaku dalam masa yang sama itu mencetuskan dakwaan wujud elemen daulah terpendam yang melakukan sabotaj terhadap kerajaan.

Salahuddin mengaku beliau menulis surat berkenaan tetapi mempertahankan bahawa ia bukan untuk kepentingan dirinya sendiri sebaliknya demi lebih 900,000 ahli Nafas.

Beliau juga menegaskan pertukaran ketua setiausaha kementerian adalah proses biasa dan di bawah kuasa ketua setiausaha negara. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen