Tak patut beri untung mudah pada Nafas, kata pesaing


SM Amin Zaim Ibrahim

Beberapa syarikat yang sertai tender terbuka bekal baja kecewa ia dibatalkan untuk diberikan secara rundingan terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

BEBERAPA syarikat yang menyertai tender terbuka bagi membekalkan baja kecewa ia dibatalkan untuk diberikan secara rundingan terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pengusaha ini memberitahu The Malaysian Insight, rundingan terus untuk kontrak baja RM1.4 bilion itu tidak adil kerana mereka sudah mengeluarkan banyak modal untuk menyertai setiap tender.

Salah seorang daripada pembekal baja itu yang enggan dinamakan namanya disiarkan berkata ia juga banyak membuang masa mereka.

“Kalau hendak terus beri kepada Nafas, jangan buka tender terus. Kos setiap tender yang kita masuk boleh mencecah hingga RM20,000.

“Kita perlu bincang dengan pembekal, pergi taklimat tender di Sabah, Sarawak, kena buat ujian sampel baja, buat kertas kerja dan banyak lagi,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan surat tawaran tender bermula 24 Julai hingga 29 Ogos lalu bagi pembekalan baja padi bersubsidi untuk tempoh dua hingga tiga tahun.

Terdapat empat tender dibuka bagi membekalkan baja iaitu Skim Intensif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk baja kapur, baja NPK tambahan, baja bio dan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

Setiap jenis perbekalan itu dipecahkan kepada lima zon petani untuk seluruh negara. Satu lagi jenis baja di bawah Skim Baja dan Racun Padi Bukit tidak dibuka tender.

Namun Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub kemudiannya didapati memohon kepada perdana menteri agar tender itu diberikan secara terus kepada Nafas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memohon kepada perdana menteri agar tender membekalkan baja diberikan secara terus kepada Nafas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

Ia menimbulkan kemarahan pembangkang yang mendakwa rundingan terus itu bertentangan dengan manifesto PH untuk menganugerahkan semua projek secara tender terbuka.

Pemberian kontrak secara terus kepada Nafas itu dipertahankan oleh menteri berkenaan sebagai usaha untuk membantu Nafas, yang dianggotai lebih 920,000 petani seluruh negara.

Salahuddin turut menyatakan, kerajaan sudah bertindak ke atas Nafas yang dibelenggu pelbagai kes penyelewengan dan salah laku sewaktu pentadbiran terdahulu.

Namun pembekal baja ini tetap berpendapat Nafas sepatutnya bersaing dengan pembekal lain dan tidak dibiarkan memonopoli kontrak lumayan berkenaan.

Menurut satu lagi syarikat pembekal, selain daripada soal kualiti baja, Nafas gagal memenangi tender yang dibuka lebih awal disebabkan harga yang diletakkan jauh lebih tinggi daripada kontraktor lain.

“Dalam semua tender yang dibuka ini, tiada yang Nafas menang sebab harga yang mereka tawarkan sangat tinggi. Beza harga dengan syarikat lain yang masuk tender sehingga RM80 juta.

“Baja kapur pun harga Nafas letak beza sekitar RM10 juta berbanding syarikat lain,” katanya.

Syarikat pembekal mendakwa Nafas tidak mampu membekalkan baja seperti dikehendaki kementerian dan hanya mengambil untung “atas angin” dengan membuka tender semula dengan harga lebih rendah.

Jelas mereka, Nafas akan tetap mengambil baja dari syarikat pembekal lain kerana kilang pertubuhan itu di Gurun tidak mengeluarkan semua jenis baja yang diperlukan oleh kementerian.

“Contohnya, baja kapur. Nafas tiada kilang. Nafas akan tender semula kepada syarikat lain. Nafas hanya jadi orang tengah, ambil untung atas angin.

“Margin untung yang Nafas beri kepada syarikat macam kami ini juga sangat kecil, dalam 5% saja.

“Jadi apa justifikasi kepada Nafas hendak bolot semua pembekalan baja ini? Ini kita belum sebut soal teknikal dan kualiti baja Nafas lagi,” katanya.

Beliau juga mengesyaki perkembangan yang berlaku kini sama saja seperti rentetan kejadian pada tahun lalu, apabila tender membekal baja dibatalkan dan Nafas diberikan lanjutan untuk membekalnya.

Namun, pada tahun ini mereka mendapat tahu bahawa tender membekal baja untuk tempoh dua hingga tiga tahun sudah diputuskan – dan ia dibatalkan untuk diberikan secara terus kepada Nafas.

Ketika ditanya, pengusaha itu mendakwa mereka mendapat tahu mengenai perkara sulit tersebut daripada sumber kementerian.

“Berbeza dengan isu yang berlaku tahun, sebahagian daripada tender yang dibuka tahun ini, kita dapat tahu sudah ada keputusan perolehan.

“Cumanya sekarang ini masih kabur sebab SST (Surat Setuju Terima) tidak keluar lagi. Tetapi proses perolehan sudah berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk surat yang didedahkan ahli Parlimen MCA Wee Ka Siong di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

“Wee sudah tunjuk surat perolehan itu. Proses itu sah. Ini bukan soal Melayu, petani, ini soal integriti,” kata pembekal dengan nada kesal.

Susulan pendedahan itu, kerajaan menukar Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Nafas Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata rundingan terus projek itu kepada Nafas adalah bagi menyelamatkan pertubuhan itu daripada gulung tikar.

Tegasnya, rundingan secara terus diperlukan supaya ia memberi manfaat kepada kilang, kakitangan, dan ahli di bawah Nafas.

Katanya, sebaik saja dilantik mempengerusikan pertubuhan itu, beliau merayu kepada Salahuddin agar tender berkenaan dibatalkan, 

Jelasnya, Salahuddin kemudiannya bersetuju membatalkan tender itu untuk pembekalan baja bagi 2019.

Namun pada Julai 2019, berlaku kekeliruan apabila kementerian membuka semula rundingan terbuka untuk pembekalan baja bagi 2020-2021.

Tegasnya, isu tersebut juga tidak mencemarkan nama Amanah walau enam daripada 11 ahli lembaga pengarah Nafas terdiri daripada ahli politik parti itu.

“Kita bukan ada penyelewengan, kita jalankan tugas seperti yang dilantik kepada kita. Kalau kita gagal dapatkan tender, kita boleh jejaskan 920,000 ahli, itu yang kira rasa seperti gagal,” katanya. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen