Menteri yakin Nafas mampu jadi pemain utama industri peladangan


Salahuddin Ayub berkata proses penstrukturan pengurusan yang baharu sedang dilakukan untuk menambah baik pertubuhan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2019.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yakin Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) dapat menjadi antara pemain utama dalam industri perladangan dengan tadbir urus yang betul.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata ia berikutan proses penstrukturan pengurusan yang baharu sedang dilakukan untuk menambah baik pertubuhan berkenaan.

“Saya yakin dan percaya ia mampu selepas Nafas dihidupkan semula bulan Januari lalu dengan pengurusan baru sedang dipergiatkan.

“Satu sahaja saya pesan ... jaga integriti, jangan ada penyelewengan, insya-Allah Nafas akan maju ke hadapan dan saya sedia memberi arahan supaya ia boleh bersaing dan menjadi pemain besar dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019, hari ini.

Menurut laporan sebuah portal berita semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sudah menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bagi menukar status Nafas kepada agensi awam.

Langkah itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pertubuhan berkenaan pada bila-bila masa, katanya.

Sebelum ini, MOA menggantung operasi Nafas berkuat kuasa 1 Jun tahun lepas susulan masalah serius tadbir urus agensi berkenaan terutama daripada aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepemimpinannya.

Salahuddin berkata perintah penggantungan itu dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan audit pengurusan pada 26 Mac 2018.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata MOA akan membangunkan industri kerang di beberapa daerah di negeri ini memastikan industri berkenaan berkembang pesat.

Katanya, ini kerana industri berkenaan dilihat mampu menjana pendapatan di samping dapat  memastikan sumber kerang tidak pupus selain menjaga kualiti pengeluaran.

“Tentang hab kerang-kerangan seperti di pantai Pontian sampai Muar sangat  sesuai dari segi ekosistem dan kita akan bangunkan industri ini. Saya lihat potensi ini akan kita bangunkan pada masa akan datang,” kata beliau.  – 1 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen