POLIS Persekutuan Brazil semalam mengesahkan menemui barangan peribadi milik wartawan British dan pakar peribumi yang hilang seminggu lalu di rantau Amazon.
Penemuan terbaru itu hanya beberapa jam selepas rakan-rakan dan ahli keluarga pasangan itu - wartawan bebas Dom Philips dan pakar Bruno Pereira berjaga-jaga di pantai Rio de Janeiro dengan seorang ahli keluarga berkata mereka sudah hilang harapan akan menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan hidup.
“Objek kepunyaan dua mangsa yang hilang ialah kad kesihatan, seluar hitam, sandal hitam dan sepasang but milik Bruno Pereira dan sepasang but serta beg galas milik Dom Philips yang mengandungi pakaian peribadi,” katanya polis dalam satu kenyataan.
Kebimbangan berkenaan nasib Phillips, 57, yang merupakan penyumbang veteran kepada akhbar The Guardian dan Pereira, 41, pakar dengan agensi kerajaan Brazil bagi hal ehwal orang asli (Funai) sejak mereka hilang Ahad lalu semakin memuncak selepas menerima ancaman semasa lawatan penyelidikan ke Lembah Javari Brazil.
Kawasan hutan yang terpencil menyaksikan lonjakan penangkapan ikan haram, pembalakan, perlombongan dan pengedaran dadah.
Jabatan Bomba Amazon sebelum ini memberitahu media tempatan barangan peribadi yang mungkin milik lelaki yang hilang ditemui berhampiran rumah Amarildo Costa de Oliveira, satu-satunya individu yang ditahan berkaitan kes itu setakat ini.
Polis berkata pasukan mencari semalam meliputi kira-kira 25 kilometer persegi dengan pencarian menyeluruh melalui hutan, jalan raya di wilayah itu dan tumbuh-tumbuhan yang ditenggelami air terutamanya di kawasan di mana bot milik Oliveira ditemui.
Phillips dan Pereira sedang melakukan perjalanan menaiki bot di wilayah Lembah Javari di barat Amazon bagi menjalankan temu bual untuk buku mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Mereka kali terakhir dilihat awal 5 Jun tidak jauh dari destinasi mereka, bandar sungai Atalaia do Norte. – AFP, 13 Jun, 2022.
Komen