2 kanak-kanak sesat 25 hari di hutan Amazon 


Hutan hujan Amazon yang luas menjadi habitat pelbagai haiwan liar.– Gambar EPA, 19 Mac, 2022.

DUA kanak-kanak Orang Asli Brazil ditemui selamat selepas sesat selama 25 hari di hutan hujan Amazon. 

Mereka hanya makan buah-buahan dan minum air hujan untuk terus hidup, kata seorang pegawai pada Jumaat.

Kanak-kanak berkenaan Glauco, 7, dan Gleison, 9, ditemui pada Selasa 35 kilometer dari tempat mereka hilang.

Mereka ditemukan dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi namun keadaan mereka stabil.

“Mereka mengalami kekurangan zat makanan dan dehidrasi teruk, tetapi berat badan mereka bertambah, tanpa risiko kepada nyawa mereka,” kata pegawai kesihatan orang asli di bandar utara Manaus, Januario Carneiro da Cunha Neto kepada AFP.

Kanak-kanak dari etnik Orang Asli Mura, hilang pada 18 Februari, apabila mereka meninggalkan kampung mereka di daerah luar bandar Manicore di negeri Amazonas dan memasuki hutan hujan berkenaan untuk memburu burung.

“Mereka bertahan dengan air hujan, air tasik dan sorva,” buah tempatan yang kaya dengan karbohidrat dan lemak, kata Carneiro.

Pihak berkuasa telah menghentikan operasi mencari kanak-kanak itu. Namun pencarian diteruskan oleh penduduk Orang Asli tempatan, sehingga satu hari rakan keluarga yang sedang keluar mengumpul kayu menemui mereka secara kebetulan, kata Carneiro.

Mereka kemudian dibawa ke hospital di Manaus dan menerima rawatan berikutan kesan luka dan jangkitan namun bernasib baik tidak bertembung haiwan liar lain, katanya. – AFP, 19 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen