KEBAKARAN hutan Amazon di utara Brazil terus merebak dan saintis turut memberi amaran ia akan memberi kesan terhadap usaha untuk memerangi perubahan iklim dunia.
Data rasmi Institut Kajian Penyelidikan Angkasa Kebangsaan (Inpe) menunjukkan hampir 73,000 kes kebakaran direkodkan antara Januari hingga bulan ini, berbanding 39,759 sepanjang tahun lalu.
Angka itu adalah yang tertinggi dicatatkan sejak 2013.
“Terdapat peningkatan lebih 80 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Kawasan lebih satu setengah saiz padang bola musnah setiap minit pada setiap hari,” menurut Inpe.
Asap tebal itu telah merebak ke Sao Paulo terletak lebih 2,700 kilometer hingga menyebabkan keadaan langit menjadi gelap pada waktu tengah hari dan menyebabkan penerbangan terpaksa dilencongkan.
“Apa yang kita saksikan adalah susulan peningkatan aktiviti penebangan hutan yang boleh dilihat menerusi jumlah direkodkan baru-baru ini,” kata wakil Program Amazon Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), Ricardo Mello.
Insiden kebakaran hutan dilaporkan meningkat menjelang berakhirnya musim kemarau, iaitu akhir Oktober atau awal November, ketika hutan dibersihkan untuk dijadikan kawasan tanaman atau pembinaan jalan raya.
Kumpulan pencinta alam yang berkempen untuk menyelamatkan Amazon menyalahkan dasar Presiden Brazil, Jair Bolsonaro kerana tidak menghiraukan keadaan hutan hujan yang membekalkan 20 peratus oksigen kepada bumi. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen