SEORANG wanita yang sesat hampir 24 jam ketika mendaki di Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di George Town, Pulau Pinang semalam, ditemukan selamat kira-kira 2km dari lokasi mangsa dilaporkan tersesat, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat wanita berusia 30-an itu selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.04 petang semalam memaklumkan mangsa sesat.
“Mangsa menghubungi pihak bomba mendakwa dia tersesat ketika mendaki di kawasan itu dan kali terakhir wanita berkenaan dapat dihubungi adalah pada jam 7.30 malam semalam.
“Operasi pencarian pada waktu malam diteruskan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), polis dan orang awam yang mahir dengan laluan pendakian di bukit itu namun gagal menemukan mangsa.
“Komander operasi membuat keputusan untuk menangguhkan sementara operasi mencari wanita itu pada jam 2.15 pagi tadi kerana tiada petunjuk lokasi mangsa berada pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut jurucakap itu, operasi diteruskan jam 8 pagi hari ini dengan disertai 44 petugas terdiri daripada 12 anggota bomba, PBS (2 orang), polis (11 orang) dan Angkatan Pertahanan Awam (19 orang) serta bantuan pendaki yang mahir dengan laluan di situ.
Katanya, operasi dijalankan di kawasan Air Terjun Botani dengan jarak 2km dari kaki bukit dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor bermula dari kawasan air terjun dengan radius 2km.
Menurutnya, wanita itu ditemukan pada jam 2.57 petang di atas bukit kira-kira 2km dari lokasi awal dilaporkan sesat dan berada dalam keadaan selamat.
“Mangsa dibawa turun ke bawah dan seterusnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 4.45 petang,” katanya. – Bernama, 9 Januari, 2022.
Komen