PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro pada Isnin menolak pakej bantuan bernilai AS$22 juta ditawarkan negara G7 untuk membantu memadam kebakaran hutan di Amazon, lapor agensi berita Anadolu.
Bercakap di media sosial, Bolsonaro mendakwa terdapat agenda tersembunyi di sebalik bantuan yang diumumkan Presiden Perancis Emmanuel Macron, dengan mengatakan Brazil bukan wilayah kolonial.
Bolsonaro berpendapat peruntukan jutaan dolar itu boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Dalam satu sidang akhbar bersama dengan Presiden Chile Sebastian Pinera pada Isnin, Macron mengumumkan negara G7 akan memperuntukkan dana berjumlah AS$22 juta untuk membantu kerja-kerja memadam kebakaran di hutan hujan di Amazon.
Perancis juga katanya akan menyediakan anggota tentera untuk membantu operasi memadam kebakaran.
Ketegangan antara Perancis dan Brazil memuncak selepas Macron memanggil negara G7 mengadakan mesyuarat tergempar. Bolsonaro menuduh Macron mempunyai minda penjajah. – Bernama, 27 Ogos, 2019.
Komen