Misteri kehilangan wartawan UK, pakar peribumi makin meningkat


Wartawan veteran Dom Phillips, 57, dan pakar peribumi terkenal Bruno Pereira hilang di Lembah Javari Amazon di Brazil sejak Ahad lepas, selepas diancam pihak tertentu, sekali gus menarik perhatian kumpulan hak asasi dan kemungkinan mereka telah menjadi mangsa kemalangan atau permainan keji. – Gambar AFP, 8 Jun, 2022.

KUMPULAN hak asasi manusia dan ahli keluarga wartawan British dan pakar Orang Asli Brazil yang hilang di hutan Amazon selepas diancam, merayu pada Selasa agar pihak berkuasa percepatkan operasi mencari.

Wartawan veteran Dom Phillips, 57, hilang ketika mengkaji untuk bukunya di Lembah Javari Amazon Brazil bersama pakar peribumi terkenal Bruno Pereira.

Kedua-dua mereka telah mengembara dengan bot ke tasik Jaburu, di utara Amazon berhampiran sempadan Brazil dengan Peru, dan dijangka pulang ke bandar Atalaia do Norte sekitar pukul 9.00 pagi pada Ahad.

Namun, selepas 48 jam, spekulasi berkisar sama ada mereka boleh menjadi mangsa kemalangan atau permainan keji.

Setakat malam Selasa, pihak berkuasa masih tidak ada laporan mengenai keberadaan mereka namun polis negeri Amazon berkata mereka sedang menyoal “suspek” dan empat yang lain telah memberi keterangan sebagai “saksi,” walaupun tiada tangkapan dibuat.

Aktivis Orang Asli tempatan berkata kedua mereka pada minggu lepas mendapat ancaman kerana kerja mereka di kawasan terpencil, yang menyaksikan lonjakan pembalakan haram, perlombongan emas, pemburuan haram dan pengedaran dadah.

Orang tersayang menaruh harapan pasangan itu akan ditemui.

“Saya mahu membuat rayuan kepada kerajaan untuk memperhebatkan pencarian,” kata isteri Phillips dari Brazil, Alessandra Sampaio, dalam satu mesej video.

“Kami masih berharap untuk menemui mereka. Walaupun saya tidak dapat turun cari cinta hidup saya itu, tetapi tolonglah cari mereka,” katanya.

Kerajaan Brazil menyatakan “kebimbangan besar,” dan berkata polis sedang mengambil “semua langkah yang perlu untuk mencari mereka itu secepat mungkin.”

Namun dalam pada itu pihak berkuasa juga dituduh lambat bertindak.

Kementerian Pertahanan berkata dalam satu kenyataan, sejak Isnin tentera telah mengerahkan 150 askar “pakar dalam operasi hutan, yang tahu rupa bumi di mana pencarian sedang dijalankan.”

Tetapi tiga kumpulan hak asasi Orang Asli di wilayah itu sebelum ini berkata dalam satu kenyataan bersama yang hanya enam pegawai polis negeri giat mengusahakan operasi itu, menggesa kerajaan mengerahkan helikopter dan pasukan petugas.

“Kerajaan Brazil sangat lambat bertindak,” kata pejabat Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Brazil dalam satu kenyataan.

Polis persekutuan Brazil kemudian berkata mereka telah mengerahkan helikopter kedua untuk membantu usaha itu. – AFP, 8 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen