Wartawan British, pakar peribumi hilang di hutan Amazon


Pandangan dari atas Lembah Javari di mana wartawan veterean British dan pakar peribumi Brazil hilang pada Ahad selepas menerima ancaman daripada kemungkinan pihak pembalak atau pelombong yang cuba menceroboh tanah orang asli di situ. – Gambar EPA, 7 Jun, 2022.

SEORANG wartawan British dan pakar peribumi Brazil telah hilang di hutan Amazon selepas mendapat ancaman, kata pihak berkuasa dan kumpulan hak asasi orang asli pada Isnin, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Wartawan veteran Dom Phillips, 57, hilang ketika mengkaji untuk bukunya di Lembah Javari Amazon Brazil bersama pakar peribumi terkenal Bruno Pereira, kata The Guardian.

Kedua-dua mereka telah mengembara dengan bot ke tasik Jaburu, di utara Amazon berhampiran sempadan Brazil dengan Peru, dan dijangka pulang ke bandar Atalaia do Norte sekitar pukul 9.00 pagi pada Ahad, kata dua kumpulan hak asasi manusia dalam satu kenyataan.

Mereka didakwa “menerima ancaman di lapangan” minggu lepas, kata Kesatuan Pertubuhan Orang Asli Lembah Javari (Univaja) dan Pemerhati Hak Asasi Manusia Orang Asil Terpencil (OPI).

Mereka tidak memberikan butiran lanjut, namun Pereira, seorang pakar di agensi hal ehwal pribumi Brazil Funai yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang wilayah itu, kerap menerima ancaman daripada pembalak dan pelombong yang cuba menceroboh tanah kumpulan orang asli.

Funai memberitahu AFP ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mencari. Tambahnya Pereira sedang bercuti dari agensi itu “atas sebab peribadi.”

Phillips dan Pereira telah mengembara ke wilayah sekitar pangkalan pemantauan Funai, dan sampai ke tasik Jaburu pada petang Jumaat, kata Univaja dan OPI.

Mereka memulakan perjalanan pulang pada awal Ahad, singgah di komuniti Sao Rafael, di mana Pereira telah menjadualkan pertemuan dengan seorang pemimpin tempatan untuk membincangkan tentang pemantauan orang asli bagi melawan “pencerobohan sengit” yang berlaku di tanah mereka, kata kumpulan itu.

Apabila ketua masyarakat tidak tiba, lelaki itu memutuskan untuk terus ke Atalaia do Norte, kira-kira dua jam perjalanan, kata mereka.

Kali terakhir mereka dilihat tidak lama selepas hampir dengan komuniti Sao Gabriel, di hilir Sao Rafael.

Mereka menaiki bot baharu dengan 70 liter petrol – “cukup untuk perjalanan” – dan menggunakan peralatan komunikasi satelit, kata kumpulan itu.

Pejabat pendakwa persekutuan berkata ia telah mengerahkan polis untuk menyiasat dan mengaktifkan operasi mencari, yang akan diketuai tentera laut Brazil.

Dua carian awal oleh penduduk asli tempatan “dengan pengetahuan yang sangat baik tentang wilayah itu” tidak menemui jejak lelaki itu, kata Univaja dan OPI. – AFP, 7 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen