Rayuan terakhir Nagaenthran ditolak, jalani hukuman esok, kata peguam


Elill Easwaran

Penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran berkata rayuan ibu Nagaenthran untuk dibenarkan melantik peguam bagi anaknya tidak diendahkan oleh mahkamah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 April, 2022.

RAYUAN terakhir Nagaenthran Dharmalingam di mahkamah Singapura telah ditolak hari ini dan rakyat Malaysia dijangka dihukum mati esok, kata penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran.

Surendran memberitahu The Malaysian Insight rayuan ibu Nagaenthran untuk dibenarkan melantik peguam bagi anaknya tidak diendahkan oleh mahkamah.

“Keputusan diberikan tanpa mendengar dari pihak Nagaenthran. Ini adalah tindakan biadab terhadap kedaulatan undang-undang,” katanya.

Surendran berkata kini hanya penangguhan daripada perdana menteri, kabinet atau presiden boleh menyelamatkan Nagaenthran.

“Tetapi itu nampaknya tidak mungkin kerana mereka nampaknya tidak peduli. Jika perkara itu tidak dilakukan, dia akan dihukum esok,” kata Surendran.

Nagaenthran, 34, mempunyai IQ 69, lebih rendah daripada skor purata yang layak untuk hilang upaya intelek.

Beliau ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Nagaentran telah ditangkap dengan heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Beliau pada asalnya dijadualkan dihukum gantung pada November namun rancangan itu mencetuskan kritikan berikutan  tahap IQnya dan peguamnya melancarkan cabaran 11 jam di Mahkamah Rayuan.– 26 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen