Agong mohon Singapura ringan hukuman Nagaenthran, kata timbalan menteri


Nagaenthran K. Dharmalingam, 33, ditahan di Singapura pada April 2009 kerana mengedar kira-kira 42.72 gram heroin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

HUKUMAN gantung ke atas rakyat Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah di Singapura turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar. 

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telahpun mengutus surat kepada Singapura, memohon supaya hukuman ke atas Nagaenthran.

“Saya boleh laporkan selain menteri luar dan perdana menteri, Agong pun telah mengutus warkah kepada presiden Singapura supaya dapat kita turunkan hukuman atau dibebaskan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menjawab soalan Kasthuri Patto (Batu Kawan-PH) berkenaan perkembangan kes Nagaenthran.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 9 November melanjutkan penangguhan hukuman mati terhadap Nagaenthran selepas beliau disahkan positif Covid-19.

Hukuman mati ke atas Nagaenthran, 33, dijadual dilaksanakan pada 10 November. Beliau ditahan di Singapura pada April 2009 kerana mengedar kira-kira 42.72 gram heroin.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebelum ini telah memohon kepada Singapura untuk meringankan hukuman Nagaenthran, yang menurut peguamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran. – 23 November, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen