Permohonan rayuan Nagaenthran didengar 30 November


Elill Easwaran

Nagaenthran K Dharmalingam, rakyat Malaysia yang juga OKU, dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November di Singapura atas kesalahan kes dadah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

RAYUAN rakyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam berhubung sabitan hukuman mati dijatuhkan terhadapnya akan didengar di Mahkamah Rayuan Singapura pada 30 November, kata keluarganya.

“Peguam kami M Ravi memaklumkan pagi tadi menerusi panggilan telefon,” kata kakak Nagaenthran, Sharmila.

Sharmila berkata keluarganya sangat berharap mahkamah itu akan menghentikan hukuman mati terhadap Nagaenthran.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar memberitahu Dewan Rakyat, Yang Di-Pertuan Agong turut meminta presiden Singapura untuk menyemak semula hukuman yang dijatuhkan terhadap Nagaenthran, 32.

Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan Singapura memberikan lanjutan penangguhan hukuman terhadap Nagaenthran susulan tertuduh dijangkiti Covid-19.

Nagaenthran ditahan pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 mengikut Akta Salah Guna Dadah atas kesalahan menyeludup masuk 42.7 gram diamorfin.

Tertuduh ditangkap dengan sebungkus heroin diikat di pahanya ketika masuk ke republik itu menerusi Woodlands.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November.

Mahkamah Rayuan pada November 2011 membenarkan keputusan sabitan dan hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap tertuduh.

Nagaenthran didiagnosis sebagai individu yang kurang upaya mentalnya dengan IQ hanya 69. – 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen