Rayuan Nagaenthran didengar 24 Januari 


Nagaenthran Dharmalingam ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram. – Gambar ihsan keluarga Naganthran, 4 Januari, 2022.

MAHKAMAH Singapura menetapkan 24 Januari untuk mendengar rayuan Nagaenthran Dharmalingam bagi membatalkan hukuman matinya kerana mengedar dadah, kata N. Surendran dari Lawyers for Liberty.

Nagaenthran yang merupakan warga Malaysia, ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Dia ditangkap dengan seikat heroin diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Nagaenthran mempunyai IQ 69, skor yang lebih rendah daripada purata yang layak untuk hilang upaya intelek.

Surendran juga menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan segera semua taktik ugutan, gangguan dan tekanan yang tidak wajar terhadap peguam Nagaenthran, M. Ravi.

“Kerajaan Singapura harus membenarkan M. Ravi dan Nagaentran meneruskan cabaran undang-undang tanpa sebarang halangan,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami juga menggesa badan kehakiman untuk menarik balik arahan mahkamah tidak adil yang dikeluarkan kepada Ravi dan memastikan pendengaran yang bebas dan adil bagi permohonan dan rayuan yang belum selesai.”

Menurutnya, Ravi juga telah diugut dengan aduan disiplin profesional dan siasatan polis yang tidak berasas.

Surendran berkata mahkamah juga telah menetapkan tarikh akhir yang singkat untuk Ravi memfailkan dokumen kes walaupun mengetahui bahawa peguam itu cuti sakit.

“Dunia akan memerhati kes ini dengan teliti, dan Singapura mesti bertindak selaras dengan kedaulatan undang-undang, prinsip undang-undang antarabangsa adat mengenai perbicaraan adil dan kewajipannya sendiri sebagai negara pihak kepada Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya,” kata Surendran.

Bulan lalu Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah diberikan proses sewajarnya di bawah undang-undang.

Ia adalah jawapan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang telah menulis surat kepada presiden untuk pengampunan bagi Nagaentran. – 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen