Nagaenthran terima proses perundangan sewajarnya, kata Singapura


Nagaenthran K Dharmalingam dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November lalu, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan beliau positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.

WARGA Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati di Singapura telah menerima proses yang sewajarnya mengikut undang-undang.

Presiden Singapura Halimah Yacob berkata demikian sebagai menjawab surat yang diutuskan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memohon hukuman Nagaentran diringankan.

Kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar republik itu pada Jumaat sebagai menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia dan nasib Nagaenthran, 33, yang menunggu hukuman mati atas kesalahan dadah di Singapura.

Pada 12 November, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan juga telah membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia.

Sebelum ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa di Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Nagaenthran yang berasal dari Perak itu, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden. Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Nagaenthran, dijatuhi hukuman mati 11 tahun lepas dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan beliau didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. 

Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek. – Bernama, 3 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen