Pengusaha bengkel kereta kurang pekerja, harga alat ganti pula mencanak naik


Elill Easwaran

Selain harga alat ganti kenderaan meningkat ketara, pengusaha bengkel baiki kereta juga menghadapi masalah kurang pekerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 April, 2022.

PENGUSAHA bengkel kereta kini menghadapi masalah kurang pekerja dan peningkatan ketara harga alat ganti, ketika mereka sedang bergelut untuk memulihkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, perniagaan mengambil masa yang perlahan untuk pulih susulan kerugian teruk sejak pandemik melanda negara pada 2020.

“Sekarang hasil jualan sikit saja sekitar 20%, dan saya tak rasa akan meningkat dalam masa terdekat. 

“Ini kerana orang ramai tidak sanggup keluarkan belanja untuk kereta seperti sebelum wabak,” kata S C Lee, 53, pemilik bengkel kerata di Subang Jaya.

Lee berkata peningkatan ketara harga alat ganti kenderaan begitu membebankan bukan sahaja kepada peniaga malah pelanggan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Dulu saya boleh dapat sebiji tayar dari pembekal pada harga RM360, kemudian jual pada harga RM410. Tetapi sekarang pembekal jual sebiji tayar RM420, jadi saya kena naikkan harga juga,” katanya.

Selain itu, pemilik bengkel juga menghadapi masalah kekurangan pekerja, lebih-lebih lagi apabila warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di bengkel.

“Orang tempatan terutamanya anak muda tak berminat, alasannya sebab tak tahan kerja berat.

“Mereka lebih suka kerja dalam pejabat, sebab kerja mekanik ni kotor.

“Saya tak kata mereka tak berminat berkerja dalam industri ini. Minat memang minat, tetapi tak suka kerja kotor,” ujar Lee.

Sementara itu, Muhammad Halim, 47, yang memiliki bengkel kereta di Melaka, berkata beliau meraih hasil jualan hanya sekitar 15%.

Persaingan sengit katanya turut menjejaskan perniagaan membaiki kereta.

“Bila bengkel dah terlampau banyak, pelanggan akan cari bengkel yang kurang orang. Jimat masa nak servis kereta,” katanya.

Beliau juga senada dengan Lee, harga alat ganti kenderaan naik dengan ketara.

“Harga barang yang dulu RM50 sekarang dah naik dua kali ganda.” – 16 April, 2022.     

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen