Mekanik bergelut baiki deretan kereta rosak akibat banjir


Angie Tan

Hujan lebat berterusan dari 17 hingga 19 Disember mengakibatkan banjir besar di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan yang menyaksikan kerugian jutaan ringgit. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

BENGKEL kereta di Shah Alam dan Subang Jaya dipenuhi deretan kenderaan yang rosak akibat banjir sehingga mekanik terpaksa mendapatkan bantuan rakan mereka di kawasan lain.

Mereka bimbang membiarkan kereta yang dinaiki air terlalu lama akan menyebabkan kerosakan lebih teruk pada kenderaan dan sedang mengatur beberapa di antara untuk dihantar ke bengkel lain selepas dilanda banjir terburuk di Lembah Klang dalam sejarah pada hujung minggu 18 Disember.

Presiden Persatuan Pembaikan Automobil Wilayah Persekutuan & Selangor (FTSARA), Yap Koon Leong memberitahu The Malaysian Insight walaupun banyak kereta memerlukan pembaikan, ia mengambil masa untuk memeriksa kerosakan kereta yang dinaiki air.

“Papan elektrik dan enjin perlu diperiksa dengan teliti. Sebuah kedai membaiki kereta boleh memeriksa satu hingga dua kereta paling banyak dalam sehari. Membiarkan kereta lain yang rosak akibat banjir menunggu lama tidak elok, kerana bahagian dalamannya mudah berkarat.

“Bengkel yang mempunyai terlalu banyak kereta sedang mengatur untuk menghantar sebahagiannya ke kedai membaiki di tempat lain,” kata Yap.

Walaupun kedai membaiki kereta sudah penuh, Yap berkata mungkin terdapat lebih banyak kenderaan rosak akibat banjir yang masih belum dihantar masuk. 

Ini kerana kebanyakan pemilik masih memberi tumpuan untuk membersihkan rumah atau kenderaan mungkin hanyut dan masih belum ditemui. 

Beliau berkata FTSARA yang mempunyai lebih 600 ahli tidak bersetuju menaikkan bayaran perkhidmatan ketika ini di saat pemilik kereta yang dilanda banjir sedang bergelut.

“Sekiranya laporan dibuat terhadap kedai membaiki yang mengenakan caj berlebihan, kami akan mengambil tindakan kerana tanggungjawab kami adalah untuk melindungi pengguna,” katanya.

Dapatkan kereta terpakai

Beberapa jenis kerosakan mustahil untuk dibaiki, kata Presiden Persekutuan Persatuan Permotoran dan Syarikat Kredit Malaysia (FMCCAM) Tony Khor Chong Boon.

Jika pemilik kereta yang terjejas banjir mengalaminya, dan juga terhimpit dari segi kewangan, pilihan terbaik mereka ialah membeli kereta terpakai, tambahnya.

“Ia bergantung kepada keadaan kewangan seseorang itu. Jika mempunyai kapasiti kewangan yang terhad, atau lebih suka memberi tumpuan kepada mengganti perabot dan peralatan rumah, maka mendapatkan kereta terpakai adalah idea yang baik jika seseorang itu tidak mampu membeli kereta baharu ketika ini,” kata Khor.

Kenderaan boleh dibaiki jika air masuk sehingga paras alas dalam kereta kerana enjin kereta tidak terendam dalam air.

“Kenderaan itu boleh dibiarkan kering, dan ia boleh dipandu seperti biasa selepas pemeriksaan,” kata Khor.

Kenderaan yang ditenggelami air pada paras enjin tempat duduk disaran menanggalkan bahagian itu untuk dibersihkan.

Jika air banjir menutupi papan pemuka kereta, ini bermakna enjin turut ditenggelami air dan barang elektronik kereta berkemungkinan terjejas.

“Ia perlu dibuka untuk pemeriksaan bagi melihat sama ada ia boleh dibaiki,” kata Khor.

Dan apabila kereta tenggelam sepenuhnya, beliau berkata adalah lebih berbaloi membeli kereta baharu berbanding mengeluarkan duit untuk membaikinya.

Presiden Persatuan Penjual Kereta & Syarikat Kredit Negeri Sembilan Teh Seng Hap yang mengusahakan kedai kereta terpakai menyaksikan beberapa pembelian selepas banjir.

“Sejak beberapa hari lepas, saya sudah menjual dua kereta Proton terpakai di bawah RM20,000 kepada mangsa banjir dari Shah Alam.

“Mereka datang ke Negeri Sembilan untuk membeli kereta selepas diperkenalkan oleh pelanggan lain,” kata Teh.

Tetapi beliau menjangkakan jualan selepas banjir adalah minimum kerana sentimen ekonomi semasa masih lemah.

“Kegawatan ekonomi, inflasi dan pembersihan pasca banjir, saya tidak rasa ramai orang akan mengutamakan pembelian kenderaan untuk menggantikan kenderaan yang rosak.

“Bagaimanapun, jika mereka melakukannya, kereta terpakai mampu milik adalah pilihan yang baik,” kata Teh.

Hujan lebat berterusan dari 17 hingga 19 Disember mengakibatkan banjir besar di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pembersihan besar-besaran masih dijalankan di banyak kawasan.

Setakat semalam, 48 orang maut akibat banjir dilaporkan. – 29 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen