Sepanjang PKP 3.0, pengedar kereta terpakai rugi RM80,000


Angie Tan

Pengedar kereta terpakai rugi sehingga RM80,000 sebulan sejak bermulanya PKP 3.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

PENGEDAR kereta terpakai kerugian RM80,000 bulan lepas kerana tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pemain industri berkata pengedar yang lebih kecil pula mengalami kerugian jualan antara RM20,000 hingga RM30,000.

Teh Seng Hup, timbalan presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) berkata pengedar kereta terpakai terpaksa mendahulukan lebih banyak wang berbanding sektor lain dan mereka berdepan kerugian apabila tidak dibenarkan beroperasi.

“Pengedar kereta perlu membayar beribu duit sewa bilik pameran dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 hingga 20 kereta terpakai tersedia untuk dijual. Bila campur semuanya, kos boleh cecah berjuta, terutama untuk pengedar kereta terpakai yang besar,” kata Teh kepada The Malaysian Insight.

“Selain perlu ada bekalan kereta, kami juga perlu insurans (untuk kereta) dan membayar gaji pekerja kami. Semua ini termasuk dalam perbelanjaan kami.”

Katanya, ada sebilangan pengedar kereta terpakai membuat pinjaman dengan bank tetapi berdepan masalah aliran tunai kerana tidak dibenarkan beroperasi.

Selain masalah kewangan, tempoh lama tiada sebarang aktiviti mewujudkan kerisauan tentang keselamatan premis perniagaan dan kereta mereka.

“Ada salon kecantikan di Johor yang dipecah masuk kerana ditutup terlalu lama. Kami bimbang komponen kereta yang mahal dicuri tetapi kami tak tahu.

“Kereta juga tak boleh dibiarkan tak bergerak terlalu lama dan enjin perlu dihidupkan sesekali, tetapi disebabkan sekatan pergerakan, ini tidak boleh dibuat.

“Kami perlu hidupkan enjin sesekali. Jika tidak, akan ada masalah. Tetapi pegawai penguatkuasa sudah beri amaran untuk tidak buka kedai atas apa sebab pun.”

Syarikat pengedar kereta tidak dibenarkan beroperasi langsung menyebabkan urusan penyelenggaraan kereta tidak dapat dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

Tambah Teh, walaupun industri automobil dibenarkan beroperasi di negeri yang sedang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, ini tidak berlaku di negeri yang sudahpun berada dalam Fasa 2.

“Bila Perak beralih ke Fasa 2, pengedar kereta di sana masih tidak dibenarkan buka. Di Pahang, pengedar diberi notis memaklumkan mereka hanya dibenarkan buka pada Fasa 3.

“Kami rasa pelik jadi kami tulis surat kepada kementerian berkaitan untuk pemahaman lebih jelas situasi ini. Jika kami perlu tunggu Fasa 3 untuk beroperasi, memang susahlah nak hidup.”

Teh berkata ribuan pekerja syarikat pengedar kereta di seluruh negara terjejas dengan situasi itu.

Jelasnya, pengedar kereta terpakai selalunya menggaji antara tiga hingga lima orang pekerja dan melayan sehingga enam orang pelanggan setiap hari. Jumlah ini sepatutnya tidak menimbulkan masalah untuk melaksanakan penjarakan sosial dan prosedur operasi standar (SOP) yang lain.

Menurunya, pengedar yang besar pula boleh melaksanakan sistem kerja bergilir dan meminta jurujual mereka tidak berada di syarikat, tambahnya.

Walaupun masih belum wujud gelombang gulung tikar dalam sektor pengedaran kereta terpakai, Teh berkata sudah ada pengedar yang merancang untuk menceburi perniagaan lain.

Bilik pameran kereta tidak dibenarkan buka sepanjang PKP 3.0, menimbulkan keresahan pemilik tentang keselamatan aset mereka. – Gambar AFP, 31 Julai, 2021.

Sementara itu, Presiden FMCCAM Tony Khor berkata masih tiada perkembangan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang pada mulanya berjanji membantu industri automobil kembali beroperasi secepat mungkin.

“Kami tulis surat kepada Miti dan beri dua cadangan- hadkan waktu perniagaan dan mengurangkan pekerja di lapangan. Kami terima maklum balas positif dari Miti yang mereka akan meneliti perkara itu tetapi sampai sekarang masih tiada perkembangan.”

Khor berkata ada ahli persatuan yang kini beralih kepada ezAuto, platform jualan kereta dalam talian untuk melakukan jualan dan transaksi. Penggunaan platform ini, katanya berjaya meningkatkan perniagaan sebanyak 33%.

“Kos kami sangat tinggi. Jika kami masih tak boleh buka secepat mungkin, ramai antara kami memang tak boleh bertahan. Saya harap kerajaan dapat memahami kesusahan kami.”

Persatuan Pembuat Automobil Malaysia (MMA) berkata sejak sekatan pergerakan penuh dilaksana pada 1 Jun, pengeluaran, pengedaran dan jualan dalam sektor automobil terjejas teruk.

MMA meminta kerajaan memakai semula SOP yang dikeluarkna untuk sekatan pergerakan pertama pada Mac tahun lepas yang membenarkan pengedar kereta beroperasi hingga tiga hari seminggu untuk tujuan memproses, menerima dan menyimpan stok. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen