Pengusaha bengkel kereta mengeluh PKP, PKPD silih berganti


Alfian Z.M. Tahir

Kebanyakan pemilik bengkel terpaksa menutup operasi perniagaan kerana tiada pelanggan sepanjang penguatkuasaan PKP dan PKPD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

PENGUSAHA bengkel kereta di seluruh negara terus berdepan kerugian mencecah ribuan ringgit kerana terpaksa bergelut dengan pandemik Covid-19, kata pemain industri.

Selain kerugian dan ketidakpastian operasi, mereka berkata terpaksa memutuskan apakah perlu memberhentikan pekerja atau menutup perniagaan.

Industri ini secara amnya membabitkan bengkel membaiki motor, kedai tayar dan aksesori.

Presiden Gabungan Persatuan Bengkel Motor Malaysia, Khor Kong Siah berkata beberapa ahli cuba memastikan perniagaan terus bertahan tetapi memutuskan untuk tutup selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan.

“Sebilangan ahli kami terus membuka kedai dengan harapan dapat memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang memerlukan tetapi diganggu oleh pelbagai agensi penguatkuasaan SOP, kadang-kadang satu demi satu. Paling teruk, mereka mula mencari kesalahan kecil dan mengeluarkan saman,” katanya seperti dipetik dalam laporan berita.

Beliau berkata menurut peraturan PKP terutama di bandar besar, bengkel kenderaan boleh dibuka dengan jumlah pekerja dan jangka waktu tertentu.

Beliau berasa ini menjadi masalah jika tidak pelanggan sambil menegaskan beberapa bengkel lebih besar mempunyai kos operasi yang tinggi.

Mohd Iskandar, pemilik kedai tayar dan rim di Sungai Tua, Gombak memberitahu The Malaysian Insight, beliau terpaksa beroperasi walaupun rugi sejak negara dilanda wabak pada awal tahun lepas.

Beliau mendedahkan sudah kerugian ratusan ribu ringgit disebabkan PKP dan PKPD kerana perniagaannya bergantung kepada servis kereta biasa dan membaiki tayar.

“Pandemik benar-benar ujian bagi saya. Bengkel saya agak baharu, kira-kira tiga tahun. Perniagaan ini bagus kerana ramai suka menukar rim terutama ketika membeli kereta baharu.”

“Tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Daripada pendapatan puluhan ribu ringgit sehari kepada ratusan ringgit sahaja. Jarang kami dapat jualan lebih RM5,000 dalam keadaan sekarang.”

“Dulu saya mempunyai tujuh mekanik tetapi terpaksa memberhentikan tiga daripadanya. Saya mengekalkan dua mandor yang berpengalaman supaya dua pekerja baharu dapat belajar,” kata Iskandar kepada The Malaysian Insight.

Pengusaha bengkel kereta mengalami kerugian ribuan ringgit kerana operasi terjejas dan kekurangan pelanggan disebabkan sekatan pergerakan bagi mengekang Covid-19. – Gambar EPA, 17 Julai, 2021.

Bagaimanapun, Iskandar berkata beliau sedang bergelut untuk meneruskan perniagaannya selepas Selangor sekali lagi diletakkan di bawah PKPD sejak 3 Julai.

“Saya terpaksa memotong gaji pekerja kepada separuh selepas tidak dapat beroperasi dengan kapasiti maksimum. Selain itu, saya masih perlu membayar utiliti lain termasuk sewa kedai. Pada masa ini saya sedang bergelut,” katanya.

Iskandar kemudian mempersoalkan logik kerajaan membenarkan sektor pembuatan dibuka tetapi pada masa sama menutup bengkel dan pusat perkhidmatan.

“Saya rasa mereka salah memberi keutamaan. Kita mungkin mengikut SOP dan mencegah kes baru tetapi perniagaan ditutup.”

“Sektor yang menyumbang dibenarkan beroperasi. Kami tidak berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, kami memperbaiki apa yang mereka perlukan dan pergi. Bayaran boleh dilakukan secara dalam talian, bagi mengehadkan kontak,” katanya.

PKPD di Selangor ditamat semalam yang melibatkan 34 kawasan, dua minggu selepas negeri itu diletakkan di bawah PKP yang ketat.

Di bawah PKPD, bengkel tidak dibenarkan beroperasi termasuk pembaiki besar dan perkhidmatan.

Semalam, Malaysia mencatat 12,541 kes dengan Selangor terus menduduki tangga teratas kes harian mengikut negeri dengan 5,512 kes, diikuti Negeri Sembilan (1,619) dan Kuala Lumpur (1,542).

Lembah Klang menyumbang 7,116 kes atau 57% daripada jumlah kes pada  Jumaat.

Sementara itu, S.Chandran, 45, seorang mekanik dan pemilik bengkel kecil di Kapar, Klang memberitahu perniagaannya tidak menguntungkan sejak tiga bulan lalu.

Beliau menutup bengkel dan bekerja dengan bapa mertuanya sebagai penjual sayur di pasar basah di Klang.

“Pada awalnya saya menyangka ini akan berakhir dalam setahun tetapi rupanya silap. Situasi sekarang lebih buruk daripada sebelumnya.”

“Saya biasa mendapat RM500 hingga RM800 sehari membaiki kereta. Saya ada seorang pekerja yang membantu. Saya boleh membayar gajinya, sewa dan bil lain.”

“Tetapi perniagaan tidak begitu baik pada masa ini. Pembantu saya sekarang bekerja sebagai penghantar makanan kerana saya tidak dapat membayar gaji penuh.

“Saya terpaksa tutup bengkel kerana tidak dapat menjana pendapatan langsung. Saya terpaksa bekerja di pasar untuk memenuhi keperluan agar terus dapat membayar sewa. Saya tidak mahu kehilangan bengkel saya. Oleh itu, saya harap apabila segalanya selesai, saya masih ada bengkel,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Seorang lagi pemilik bengkel, yang enggan disebut namanya, berkata wabak tersebut menyebabkan beliau menutup bengkel selepas hanya enam bulan beroperasi.

Kini tidak bekerja, beliau berkata pada masa ini menolong isterinya menjual kuih secara dalam talian.

“Mungkin masa saya tidak tepat. Ekonomi perlahan dan orang susah. Kerana itu, perniagaan saya juga terjejas.”

“Sudah nasib saya, tidak dapat mempertahankan perniagaan. Kos operasi tinggi, PKP dan PKPD juga tidak membantu, ia lebih membebankan.”

“Saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan sekarang, semuanya tidak jelas,” katanya.

bengkelnya sebelum ini terletak di Bandar Baru Rawang.

Sementara itu, ketiga-tiga individu tersebut bersetuju kerajaan harus memperuntukkan lebih banyak bantuan untuk membantu rakyat dalam keadaan sekarang.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan inisiatif i-Citra, mereka berkata lebih bagus jika kerajaan boleh mengambil tindakan berkenaan moratorium pinjaman.

“Membantu rakyat harus menjadi keutamaan. Bantuan bulanan harus disalurkan kepada rakyat, terutama mereka yang kehilangan pendapatan.”

“KWSP itu bagus, sekurang-kurangnya orang ada wang untuk bertahan tetapi kerajaan harus bersikap tegas dengan bank. Ia seolah-olah bank masih mendapat keuntungan sementara rakyat membayar lebih banyak,” kata mereka. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen