LIMA puluh tujuh orang dikebumikan dalam satu kubur besar di Bucha, sebuah bandar di luar Kyiv yang baru-baru ini ditawan semula oleh tentera Ukraine daripada tentera Russia, kata seorang pegawai tempatan pada Ahad.
“Di sini dalam kubur panjang ini, 57 orang dikebumikan,” kata Serhii Kaplychnyi, yang mengenalkan dirinya sebagai ketua perkhidmatan menyelamat di Bucha, yang menyelia mayat itu.
Kubur besar itu terletak di belakang sebuah gereja di pusat bandar.
Kira-kira 10 mayat kelihatan, sama ada tidak tertimbus atau sebahagiannya dilitupi bumi.
Beberapa mayat disembunyikan dalam beg mayat berzip hitam manakala yang lain memakai pakaian awam.
Ukraine menuduh tentera Russia melakukan “pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan” di Bucha.
Bukti kemungkinan pembunuhan orang awam di sekitar Kyiv muncul apabila tentera Russia berundur dari ibu negara selepas menghadapi tentangan sengit tentera Ukraine.
Jerman pada Ahad mengutuk pembunuhan orang awam di Bucha sebagai “jenayah perang yang dahsyat” dan menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baharu terhadap Russia.
UK meminta “perbuatan mengerikan” itu disiasat sebagai jenayah perang. – AFP, 3 April, 2022.
Komen