20 pegawai awam dibunuh penyamun di utara Nigeria


Pembunuhan berlaku di pusat pentadbiran kerajaan tempatan Shinkafi dan mayat mangsa turut dibakar kumpulan penyamun. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2021.

SERAMAI 20 pegawai awam maut dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di Zamfara, di utara Nigeria pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.

Pembunuhan itu berlaku di pusat pentadbiran kerajaan tempatan Shinkafi dan mayat mangsa turut dibakar kumpulan penyamun.

Jurucakap Kor Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria (NSCDC) di negeri itu, Aminu Mary, yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, komander kor negeri pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian.

Kerajaan negeri berkata, lebih 2,000 yang disyaki menjadi pemberi maklumat kepada penyamun ditahan sejak perkhidmatan telekomunikasi disekat dan tentera melancarkan operasi, menurut pesuruhjaya penerangan Zamfara, Ibrahim Dosara.

“Kerajaan menyediakan bilik operasi untuk menerima aduan supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan,” kata Dosara yang dipetik agensi berita Anadolu.

Beliau berkata, operasi yang dilancarkan pihak berkuasa menyebabkan sebahagian penyamun terpaksa melarikan diri dan ada segelintir dilaporkan berada dalam kelaparan selepas terputus bekalan makanan.

Kerajaan di negeri bergolak itu turut mengambil langkah drastik dengan menyekat rangkaian telekomunikasi dan penjualan petrol selain mengharamkan pasar mingguan. – Bernama, 30 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen