PENYIASAT Rusia pada Sabtu berkata mereka telah menahan seorang lelaki disyaki membunuh setelah menemui mayat wanita yang dikenal pasti media sebagai pelajar Amerika yang hilang.
Agensi berita Rusia mengenal pasti wanita itu sebagai warga negara Amerika Syarikat Catherine Serou, 34 tahun.
Awal minggu ini, penyiasat berkata seorang wanita berusia 34 tahun yang menetap di luar Nizhny Novgorod, bandar sekitar 420 kilometer timur Moscow, telah hilang setelah masuk ke dalam sebuah kereta yang tidak dikenali.
Mereka berkata dia telah pindah ke Rusia pada 2019 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Lobachevsky Nizhny Novgorod.
Pada Sabtu, Jawatankuasa Siasatan, yang menyiasat jenayah utama di Rusia berkata pihaknya menemui “pelajar asing yang hilang”.
“Hari ini, hasil operasi pencarian berskala besar, mayat gadis itu ditemui,” kata Jawatankuasa Siasatan dalam satu kenyataan, tanpa menyebut namanya.
Tambah jawatankuasa itu, polis telah menahan seorang penduduk Nizhny Novgorod “kerana disyaki membunuh, yang telah berulang kali disabitkan dengan kesalahan besar, terutama jenayah berat.”
Penyiasat berkata komunikasi terakhirnya sebelum hilang adalah dengan ibunya tepat selepas pukul 6.30 petang waktu tempatan pada Selasa, memberitahu ibunya dia dalam perjalanan dengan kereta bersama orang yang tidak dikenali.
Pasukan pencarian dan sukarelawan telah mencari Serou di kawasan hutan di luar bandar tempat terakhir isyarat telefonnya dikesan.
Pada Jumaat, ibu Serou, Beccy memberitahu radio NPR Amerika Syarikat, anak perempuannya telah berpindah ke Nizhny Novgorod pada 2019 dan telah menghantar teks terakhir kepadanya pada Selasa petang dengan berkata: “Di dalam kereta dengan orang asing. Saya harap saya tidak diculik.”
“Itu adalah perkara terakhir yang ditulisnya,” kata Beccy Serou, menambah dia berharap anaknya akan selamat kembali kerana dia adalah bekas tentera laut AS yang pernah bertugas di Afghanistan, menurut NPR. – AFP, 19 Jun, 2021.
Komen