PENJENAYAH bersenjata telah membunuh 16 orang dan mencederakan sembilan yang lain di sebuah kampung di barat laut Nigeria berhampiran sempadan Niger, kata pegawai tempatan dan penduduk pada Jumaat.
Serangan subuh itu yang terbaharu dalam rangkaian serangan oleh kumpulan penjenayah dikenali sebagai “penyamun” yang selama bertahun-tahun mengganas, membunuh, menyamun dan menculik orang.
“Orang-orang bersenjata itu datang dengan motosikal dan melepaskan tembakan ke arah kampung,” kata penduduk Lawwali Umeh.
“Kami kebumikan 16 mayat petang ini. Sembilan yang lain cedera parah,” tambah Umeh.
Seorang pegawai dari daerah itu, Saidu Naino Ibrahim, mengesahkan jumlah kematian, selain berkata yang cedera sedang dirawat di sebuah hospital.
“Penyerang mengambil lebih dari 100 ekor lembu,” tambahnya.
Ahli parlimen berkata penyamun itu berasal dari Dogon Zango, di negara jiran Zamfara.
Penyamun dikenali beroperasi di hutan Rugu, yang meliputi Zamfara, Katsina, Kaduna dan negeri-negeri Niger.
Tentera Nigeria dikerahkan ke rantau itu pada 2016 dan perjanjian damai dengan beberapa penyamun telah ditandatangani pada 2019 namun serangan tetap berlanjutan.
“Penyamun telah menyerang desa di daerah itu… bergerak dari kampung ke kampung, membunuh dan menyamun,” kata Ibrahim.
“Kami tidak tahu kampung mana yang akan menjadi sasaran berikutnya,” kata penduduk itu.
Polis mengesahkan dalam satu kenyataan ada serangan oleh penyamun di Tara, tanpa memberikan maklumat lanjut. – AFP, 6 Mac, 2021.
Komen