Lembaga pengawas Facebook semak kenyataan kontroversi Dr Mahathir


Tulisan kontroversi Dr Mahathir Mohamad terhadap Perancis tersenarai antara enam kes yang disiasat lembaga pengawas bebas Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2020.

KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad bahawa “umat Islam berhak untuk marah dan bunuh orang Perancis” menjadi kes pertama disiasat oleh lembaga pengawas bebas Facebook.

Tulisan kontroversi Dr Mahathir itu tersenarai antara enam kes yang disiasat lembaga pengawas berkenaan selepas dirujuk oleh seorang pengguna Facebook.

“Seorang pengguna menyiarkan tangkap layar dua twit oleh bekas perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, di mana bekas perdana menteri itu menyatakan ‘Orang Islam berhak untuk marah dan membunuh berjuta orang Perancis atas pembunuhan masa lampau.’ dan ‘[b] secara umumnya umat Islam tidak mengamalkan undang-undang hutang darah dibayar dengan darah. Orang Islam bukan begitu.  Orang Perancis (juga) tidak sepatutnya begitu. Malah Perancis harus mengajar rakyatnya menghormati perasaan orang lain.’

“Pengguna tidak menambah kapsyen bersama tangkap layar. Facebook membuang hantaran itu kerana melanggar polisi mengenai ucapan kebencian.

“Pengguna menyatakan dalam rayuan mereka kepada Lembaga Pengawas bahawa mereka ingin meningkatkan tahap kesedaran mengenai ‘kata-kata yang amat teruk’ dari bekas perdana menteri itu,” menurut lembaga berkenaan di laman webnya.

Dua kenyataan itu dipetik dari tulisan Dr Mahathir yang diterbitkan pada 29 Oktober lalu di blog perdana menteri, yang mengulas pembunuhan seorang guru di Perancis kerana dianggap menghina Nabi Muhammad dan reaksi susulan Presiden Emmanuel Macron dan umat Islam di seluruh dunia terhadap Perancis.

Catatan Dr Mahathir itu juga dikeluarkan pada hari sama kejadian serangan yang menyebabkan tiga orang maut di sebuah gereja di Nice, Perancis.

Kejadian berlaku selepas seorang guru di Perancis dibunuh kerana dianggap menghina Nabi Muhammad.

Dr Mahathir berkata kenyataannya mengenai perkembangan keganasan di Perancis telah disalah tafsir dan maksudnya diputar belit, sehingga dipadam oleh Twitter dan Facebook.

Beliau percaya ada pihak sengaja menonjolkan hanya sepotong daripada keseluruhan kenyataannya, untuk mengapi-apikan kebencian rakyat Perancis kepada orang Islam.

Lembaga pengawas Facebook berkata ia menerima lebih 20,000 kes sejak dibuka kepada pengguna pada Oktober. – 2 Disember, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen