Kenyataan saya diputar belit, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad percaya ada pihak sengaja menonjolkan hanya sepotong daripada keseluruhan kenyataannya, untuk mengapi-apikan kebencian rakyat Perancis kepada orang Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

DR Mahathir Mohamad kesal kenyataannya mengenai Presiden Perancis Emmanuel Macron dan perkembangan keganasan di negara telah disalah tafsir dan maksudnya diputar belit, sehingga dipadam oleh Twitter dan Facebook.

Beliau percaya ada pihak sengaja menonjolkan hanya sepotong daripada keseluruhan kenyataannya, untuk mengapi-apikan kebencian rakyat Perancis kepada orang Islam.

“Saya jelak dengan cubaan untuk memberi gambaran yang salah dan mengambil di luar konteks apa yang saya tulis di blog semalam.

“Mereka hanya menonjolkan sebahagian daripada perenggan 12 yang berbunyi: “Orang Islam berhak untuk marah dan membunuh orang Perancis bagi membalas pembunuhan mereka pada masa lampau.”

“Mereka berhenti di situ dan menggambarkan saya menggalakkan agar orang Perancis dibunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Mahathir sekiranya orang membaca penuh kenyatannya, mereka akan nampak beliau bukan menganjurkan orang Islam supaya mengganas terhadap rakyat Perancis.

Apa yang cuba disampaikan ialah negara Eropah itu sepatutnya menghentikan layanan tidak adil kepada orang Islam, katanya.

Susulan tulisan di blognya semalam, Twitter dan Facebook memadamkan kenyataan itu.

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu untuk mengulas pembunuhan seorang guru di Perancis kerana dianggap menghina Nabi Muhammad dan reaksi susulan Macaron dan umat Islam di seluruh dunia terhadap Perancis.

Kenyataan Dr Mahathir kebetulan dibuat pada hari sama tiga orang dibunuh di sebuah gereja di Nice, Perancis dipercayai dilakukan oleh pelampau Muslim.

Menurut Dr Mahathir, beliau cuba menerangkan maksud sebenar kenyataannya kepada platform media sosial itu tetapi tidak diendah.

“Itulah kebebasan media bagi mereka. 

“Mereka mempertahankan sesiapa yang menunjukkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw dan berharap semua umat Islam menelannya atas nama kebebasan bersuara.

“Sebaliknya mereka dengan sengaja padam (kenyataan) bahawa umat Islam tidak pernah membalas dendam atas ketidakadilan terhadap mereka selama ini,” katanya.

Dr Mahathir juga kesal rayuannya supaya kerajaan Perancis menasihat rakyat supaya menghormati orang lain juga ditenggelamkan.

“Apa yang mereka mahu daripada reaksi terhadap tulisan saya ialah untuk menghasut kebencian orang Perancis terhadap Muslim,” katanya.

Episod ini bermula dengan pembunuhan seorang guru sekolah Samuel Paty yang dipenggal kepalanya oleh seorang lelaki Chechen pada 16 Oktober.

Guru itu dibunuh kerana menunjukkan kepada kelasnya karikatur yang didakwa Nabi Muhammad, yang juga menjadi punca serangan di pejabat majalah Charlie Hebdo pada 2015 yang membunuh 12 orang.

Macron dalam reaksinya mempertahankan tindakan guru berkenaan atas nama kebebasan.

Tindakan presiden Perancis itu mencetuskan tunjuk perasaan di banyak negara Islam, termasuk kempen memboikot barangan Perancis. – 30 Oktober, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen