Islamofobia mesti dikutuk, kata Azmin


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata Islamofobia mesti dikutuk oleh semua pihak yang waras tanpa mengira bangsa atau agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

SIKAP Islamofobia yang hina, bermula dengan ucapan berbaur kebencian hingga keganasan secara terang-terangan, semakin meningkat dan mesti dikutuk oleh semua pihak yang waras tanpa mengira bangsa atau agama, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Merujuk kepada pembunuhan kejam sebuah keluarga Islam di Kanada pada Ahad, menteri kanan itu sambil memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam menangkap dan mendakwa pelaku pembunuhan berkata perhatian serius mesti diberikan terhadap kejadian itu.

Ini supaya mereka yang tidak bersalah tidak terus menjadi sasaran keganasan yang melampau, termasuk pembunuhan ramai-ramai, hanya disebabkan agama atau etnik mereka.

“Tindakan ini juga merupakan manifestasi daripada kebiasaan budaya kebencian anti-imigran, rasisme, dan pertumbuhan kumpulan-kumpulan sayap kanan.

“Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk berwaspada dan menangani masalah ini secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin juga menzahirkan ingatan dan doanya kepada keluarga mangsa tiga generasi yang tidak bersalah, dengan mengatakan mereka dibunuh tanpa belas kasihan hanya kerana mereka beragama Islam.

Menurut laporan media, empat anggota sebuah keluarga Islam terbunuh apabila pemandu sebuah trak pikap dengan sengaja melanggar mereka di Ontario pada 8.40 malam Ahad.

Seorang lagi anggota keluarga malang itu, kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, juga dilanggar dan kini berada di hospital dalam keadaan serius tetapi stabil.

Menurut polis keluarga itu yang sedang berjalan berhenti untuk menyeberang di simpang ketika trak itu dipandu ke tepi jalan dan melanggar mereka. 

Pemandu, Nathaniel Veltman, 20, telah ditangkap tidak lama kemudian, kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian. Tertuduh telah didakwa dengan empat tuduhan bunuh dan satu tuduhan cubaan membunuh, kata polis. – Bernama, 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen