Turki pilih Malaysia jadi hub teknologi aeroangkasa Asia Tenggara


Kalidevi Mogan Kumarappa

TAI membuka pejabat urusannya di Cyberjaya dan melantik lebih kurang 50 jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global di sini. – Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

SYARIKAT teknologi aeroangkasa Turki Turkish Aerospace Industries (TAI) memilih Malaysia sebagai pusat pembuatan dan pengedaran produk mereka di rantau Asia Tenggara.

Pegawai Eksekutif TAI Temel Kotil berkata pihaknya memilih Malaysia kerana percaya dengan kebolehan rakyat negara ini selain kagum dengan kepakaran bakat tempatan dalam bidang elektronik.

Selepas 20 tahun terlibat dalam pembuatan produk aeroangkasa, TAI ingin berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan Malaysia, katanya.

“Di Turki kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh produk TAI, sekarang kami ada sekitar 1,000 orang jurutera untuk helikopter sahaja.

“Jadi kami mahu bawa pengalaman dan kongsikan dengan Malaysia. Seperti kata presiden kami (Recep Tayyip Erdoğan) jika kita menanam epal 20 tahun lalu sekarang pokoknya sudah berbuah, jadi kami ingin Malaysia turut menikmati buah ini,” katanya pada sidang media di  Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) di Kuala Lumpur.

Jelas Temel, TAI membuka pejabat urusannya di Cyberjaya sejak empat bulan lalu dan telah melantik lebih kurang 50 jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global di sini.

TAI juga bekerjasama dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftec), dan beberapa agensi berkaitan dan institusi tempatan untuk membangunkan sistem avionik tersebut dan beberapa produk lain seperti dron tanpa pemandu (UAV).

Menurutnya lagi, TAI berbincang dengan beberapa negara serantau tetapi akhirnya memilih Malaysia kerana percaya dengan kebolehan tempatan.

“Kerajaan Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk membangunkan program aeroangkasa tempatan daripada selenggaraan,pembaikan dan operasi (MRO), rekabentuk dan kami berharap boleh menjadi pembuat di sini.

“Itulah polisi kerajaan anda dan kami mahu menyokong polisi tersebut. Kami akan pastikan kami mampu untuk menghasilkan produk kami di sini, daripada pemasangan dan pembuatan akan bermula di Malaysia, itulah sasaran kami,” katanya. – 29 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen