2 syarikat penerbangan Kazakhstan, Turki gantung penerbangan ke Rusia


Syarikat penerbangan tambang murah Turki Pegasus Airlines menangguhkan sementara penerbangan ke Rusia berikutan sekatan yang dikenakan ke atas Moscow. – Gambar EPA, 11 Mac, 2022.

SYARIKAT penerbangan nasional Kazakhstan Air Astana dan syarikat penerbangan tambang murah Turki Pegasus Airlines hari ini berkata mereka menangguhkan sementara penerbangan ke Rusia berikutan sekatan yang dikenakan ke atas Moscow susulan operasi ketenteraan di Ukraine.

Syarikat itu membuat keputusan berkenaan kerana ketidakpastian mengenai insurans pesawat yang menuju ke Rusia, kata mereka dalam siaran akhbar berasingan.

Air Astana yang mengendalikan penerbangan ke beberapa destinasi di Rusia berkata mereka berusaha untuk mengembalikan operasi penerbangan secepat mungkin.

Pegasus Airlines berkata penerbangan mereka ke Rusia akan digantung dari 13 hingga 27 Mac.

Syarikat penerbangan Turki itu berkata langkah ini dikaitkan dengan “risiko operasi” berikutan sekatan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah.

Akibat sekatan Barat insurans syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan ke Rusia tidak lagi sah.

Untuk terus beroperasi memerlukan jaminan kewangan negara seperti yang dilakukan Israel untuk syarikat penerbangannya yang mengendalikan penerbangan ke Rusia.

Britain, Kanada, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menggantung penerbangan ke Rusia serta menutup ruang udara mereka kepada pesawat Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan.

Rusia bertindak balas menyekat syarikat penerbangan dari negara tersebut daripada terbang melintasi wilayahnya.

Sambungan udara masih dibuka dari beberapa negara ke dan dari Rusia termasuk Turki, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. – Bernama, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen