Wartawan Turki dedah korupsi mati ditembak


Turki antara negara bahaya untuk wartawan, berada di kedudukan 153 dalam Indeks Kebebasan Media dikeluarkan RSF. – Gambar AFP, 20 Februari, 2022.

SEORANG wartawan Turki mati ditembak di luar pejabat akhbarnya bekerja di barat laut negara itu, menurut kenyataan polis dan laporan media.

Gungor Arslan, pengarah dan ketua pengarang akhbar harian tempatan Ses Kocaeli (Suara Kocaeli) ditembak sehingga menyebabkan kecederaan parah, beliau kemudiannya meninggal dunia di hospital.

Polis berkata mereka sudah menahan suspek tetapi tidak mendedahkan identitinya dan butiran serangan.

Erol Onderoglu, wakil Turki di kumpulan hak media di Paris, Reporters withour Borders (RSF) memberitahu AFP yang Arslan sedang menyiasat skandal korupsi di bandar itu.

Mengecam pembunuhan itu, beliau mendesak pihak bertanggungjawab dikenal pasti dan dihukum menurut undang-undang.

Menerusi dua edisi lepas akhbar Ses Kocaeli, Arslan menuduh datuk bandar, ahli parti pemerintah AKP memberikan kontrak kerajaan kepada kumpulan yang rapat dan mesra hubungan dengan parti.

Arslan pernah menjadi sasaran serangan sebelum ini dan selalu disiasat kerana rencana yang ditulisnya.

“Ramai orang menganggapnya sebagai berani kerana menyiasat korupsi,” kata Onderoglu kepada AFP.

Turki berada di kedudukan 153 dalam Indeks Kebebasan Media dikeluarkan RSF. – AFP, 20 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen