Presiden Israel ke Turki baiki semula hubungan


Presiden Israel Isaac Herzog akan bertemu rakan sejawat Turki Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan pertamanya sejak 2007, dengan isu dua hala mungkin akan mendominasi perbincangan selepas lebih sedekad hubungan diplomatik kedua negara itu retak. – Gambar EPA, 9 Mac, 2022.

PRESIDEN Israel ke Turki pada Rabu untuk bertemu rakan sejawatnya Recep Tayyip Erdogan, lawatan pertama ketua negara Yahudi itu sejak 2007, ketika kedua negara berusaha memperbaiki hubungan.

Lawatan Isaac Herzog ke Ankara dan Istanbul dibuat beberapa minggu sebelum Rusia menyerang Ukraine, namun konflik itu boleh terpapar pada rundingan tersebut, dengan kedua-dua Israel dan Turki memainkan peranan perantara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun isu dua hala mungkin akan mendominasi perbincangan berikutan lebih sedekad hubungan diplomatik retak antara negara Yahudi dan majoriti Muslim Turki.

Isu-isu tersebut termasuk penjualan gas ke Eropah, topik yang mendapat perhatian tambahan di tengah-tengah konflik Ukraine.

Hubungan membeku selepas kematian 10 orang awam berikutan serbuan Israel ke atas kapal Mavi Marmara Turki, sebahagian daripada armada yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza pada 2010.

Perjanjian perdamaian 2016 yang menyaksikan kepulangan semula duta runtuh pada 2018 berikutan pertempuran sempadan dengan Gaza, yang menyaksikan berpuluh-puluh rakyat Palestin terbunuh.

Turki memanggil balik diplomatnya dan mengarahkan utusan Israel keluar dari negara itu.

Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kedua negara itu telah mencari penyesuaian semula.

Jawatan presiden Israel secara tradisinya adalah jawatan istiadat namun Herzog, veteran parti Buruh berhaluan kiri, telah mengambil peranan diplomatik berprofil tinggi.

Erdogan dan Herzog telah bercakap beberapa kali sejak pelantikan Herzog pada Julai. – AFP, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen