MESYUARAT Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan majlis tersebut kini bertanggungjawab ke atas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lapor The Star.
Laporan itu menyebut, perubahan itu dibuat dengan pelantikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengerusi Majlis Agama Nasional untuk tempoh dua tahun.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula dilantik sebagai timbalan pengerusi majlis baharu tersebut, menurut laporan itu yang memetik satu sumber istana.
Keputusan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 di Istana Negara itu bagi menegaskan bidang kuasa Raja-Raja Melayu dalam hal berkaitan agama Islam, menurut laporan berkenaan.
“Ia akan membanti menjelaskan segala keraguan dan kekeliruan mengenai bidang kuasa Jakim,” kata sumber tersebut yang dipetik The Star.
Jakim yang antara lain menyelia Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sebelum ini diletakkan bawah tanggungjawab menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri.
Peranan dan bidang kuasa Jakim menjadi perhatian ekoran keputusan beberapa kes yang didakwa tidak memihak kepada agama Islam dan menghakis kedudukan perundangan syariah.
Antaranya, satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari mengenai sekatan ke atas kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ia memutuskan, DUN tiada kuasa menggubal undang-undang bagi Mahkamah Tinggi Syariah mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Turut menjadi perhatian, keputusan Mahkamah Tinggi bulan lalu agar tiga beradik muslim dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipulangkan kepada ibu mereka, Loh Siew Hong.
NGO seperti Pertubuhan Pembela Islam dan Perkid Malaysia mendakwa kedudukan agama Islam digugat ekoran kekalahan berturut-turut dalam kes mahkamah berkenaan.
Mereka mendakwa ia berlaku kerana kedudukan Mahkamah Syariah berada di peringkat bawah sekali berbanding Mahkamah Persekutuan, yang turut menghakis kuasa sultan sebagai ketua agama.
Memorandum berkaitan tuntutan itu dikemukakan NGO berkenaan kepada semua majlis agama Islam negeri pada hari Selasa. – 10 Mac, 2022.
Komen