Muhyiddin panggil semua menteri besar mesyuarat esok


The Malaysian Insight difahamkan notis panggilan mesyuarat itu dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu selesai mengadakan sidang khas di Istana Negara, petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memanggil semua menteri besar dan ketua menteri untuk satu mesyuarat tergempar di Putrajaya esok ketika ada ura-ura kerajaan akan mengenakan perintah darurat bagi menangani pandemik Covid-19.

The Malaysian Insight difahamkan notis panggilan mesyuarat itu dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu selesai mengadakan sidang khas di Istana Negara, petang ini.

Sidang khas Raja-Raja Melayu diadakan selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.

“Ya, ada mesyuarat esok antara perdana menteri dan semua menteri besar dan ketua menteri,” kata seorang sumber.

Sumber bagaimanapun menjelaskan agenda mesyuarat berkenaan tidak didedahkan.

Pegawai di Pejabat Menteri Besar Selangor dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang juga mengesahkan ada panggilan untuk mesyuarat esok.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat dipanggil pada pukul 9 pagi di Putrajaya.

Raja-Raja Melayu petang tadi menghadiri perbincangan khas di Istana Negara, yang dipercayai membincangkan cadangan-cadangan yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu.

Perbincangan khas itu dipercayai bermula 2.30 petang.

Kenderaan yang membawa Raja-Raja Melayu kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara selepas puku 5 petang.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam tidak memperincikan cadangan-cadangan yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi hanya menyebut ia memerlukan perkenan baginda untuk dilaksanakan.

Muhyiddin menghadap Al Sultan Abdullah pada petang Jumaat, selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada sebelah pagi.

Media yang memetik pelbagai sumber melaporkan kerajaan Muhyiddin bercadang menggunakan kuasa-kuasa di bawah perintah darurat untuk menangani pandemik Covid-19 di tengah-tengah kedudukan sokongan ke atasnya yang tipis di Dewan Rakyat.

Ura-ura itu bagaimanapun dibantah pelbagai pihak yang menganggap masih ada jalan lain yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada untuk menangani masalah politik dan penularan Covid-19.

Langkah mencadangkan pengisytiharan darurat dibuat ketika Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Pada hari yang sama beberapa jam sebelumnya, Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Seminggu selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengumumkan Umno akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.

Perkembangan politik ini melatari sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November ini, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen