Agong mahu runding Raja-Raja Melayu, kata Istana Negara


Istana Negara memaklumkan perbincangan Raja-Raja Melayu itu akan diadakan 'dalam masa terdekat'.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berunding dengan Raja-Raja Melayu cadangan-cadangan Jemaah Menteri yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan bagaimanapun tidak menyebut sama ada cadangan itu, yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan, menyentuh soal perisytiharan darurat.

Beliau hanya memaklumkan perbincangan Raja-Raja Melayu itu akan diadakan “dalam masa terdekat”.

“Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah memahami “keperluan kelangsungan pentadbiran negara” untuk memerangi pandemik Covid-19 serta prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat mengenainya.

“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tambahnya.

Sumber sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight, Yang di-Pertuan Agong akan bertemu Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Ahmad Fadil mengesahkan Muhyiddin telah diterima menghadap Yang di Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang pada 5 petang semalam. Pertemuan mereka berlangsung lebih kurang satu jam setengah.

Sesi menghadap itu dimohon Muhyiddin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang beliau pengerusikan di Putrajaya pada sebelah pagi, jelasnya.

“Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menyeru rakyat untuk terus menjaga diri dan bersama-sama pihak berkuasa memerangi Covid-19.

Baginda juga mengajak rakyat sama-sama berdoa agar penularan wabak ini berakhir dengan segera.

Media yang memetik pelbagai sumber semalam melaporkan kerajaan Muhyiddin bercadang menggunakan kuasa-kuasa di bawah perintah darurat untuk menangani pandemik Covid-19 di tengah-tengah kedudukan sokongan ke atasnya yang tipis di Dewan Rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional juga bertanya kepada umum apa pilihan yang ada pada kerajaan untuk mengelakkan pilihan raya diadakan ketika Covid-19 terus merebak.

Dewan Rakyat akan bersidang bermula 2 November ini, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November. – 24 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen